Orang utan albino dikesan di Kalimantan

Alba dibebaskan ke hutan lebih setahun lalu dan dilihat menjalani kehidupan yang baik sehingga ke hari ini. - Foto AFP
Alba dibebaskan ke hutan lebih setahun lalu dan dilihat menjalani kehidupan yang baik sehingga ke hari ini. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Seekor orang utan albino yang pernah menjadi perhatian dunia sebelum ini dikesan masih hidup dan berada dalam keadaan baik sejak ia dilepaskan ke sebuah hutan di Kalimantan, Indonesia lebih setahun lalu.

Primat bermata biru dengan badan dilitupi bulu berwarna putih itu diambil daripada penduduk kampung yang memeliharanya sebagai haiwan peliharaan pada 2017.

Orang utan albino yang diberi nama Alba itu kemudiannya dilepaskan ke hutan pada hujung 2018.

Pada minggu ini, Yayasan Penyelamat Orang Utan Borneo melihat Alba ketika mereka sedang memantau tiga orang utan lain yang dibebaskan ke hutan sama baru-baru ini.

"Selepas kami dapati ia boleh membina tempat tinggal sendiri, mencari makanan sendiri dan tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan manusia, kami simpulkan bahawa ia sudah boleh hidup di hutan," kata Pengarah Kementerian Alam Sekitar untuk Pemuliharaan Biodiversiti, Indra Exploitasia.

Kejayaan menyelamatkan Alba adalah berita positif terhadap spesies terancam kritikal itu lebih-lebih lagi apabila habitatnya mengecil secara drastik sepanjang beberapa dekad lalu, sebahagian besarnya disebabkan pemusnahan hutan untuk pembalakan, kertas, minyak sawit dan perlombongan.

Difahamkan, pekerja ladang dan orang kampung sering menyerang spesies tersebut kerana mereka melihat ia sebagai perosak.

Selain itu, pemburu juga sering menangkap haiwan berkenaan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!