Pencuri rompak rantai Versace guna joran
CANBERRA - Perbuatan seorang lelaki menggunakan joran untuk mencuri rantai emas di sebuah butik mewah di Australia berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Individu berkenaan turut memecahkan tingkap premis tersebut yang terletak di daerah pusat perniagaan Melbourne sebelum melarikan rantai leher jenama Versace.
Menurut polis, pencuri tersebut mengambil masa hampir tiga jam sebelum berjaya mendapatkan ‘hasil tangkapannya’.
“Selepas cubaan pertama menggunakan joran lebih kecil gagal, dia kemudiannya menggunakan alat pancing ikan lebih besar untuk mengambil barang kemas bernilai AS$700 (RM3,000) yang diperagakan pada sebuah patung ketika kejadian pada 24 Februari lalu.
“Dia sememangnya sangat berani untuk ‘memancing’ seperti itu. Ia adalah perbuatan yang sangat luar biasa. Saya tidak pernah melihat pencuri menggunakan joran untuk melakukan rompakan sebelum ini,” kata jurucakap polis Victoria, Bede Whitty.
Difahamkan, pihak polis giat memburu suspek yang digambarkan sebagai seorang lelaki kulit putih dan berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!