Lelaki hilang selepas cari ketam ditemui selamat
PORT DICKSON - Seorang lelaki yang hilang selepas mencari ketam sejak Isnin lalu di pantai Lagun Biru Batu 10 di sini ditemui selamat berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, mangsa, Mohd Fakhrul Fareez Mohd Afandi, 32, ditemui ahli keluarganya pada 12.42 pagi di pantai berkenaan dalam keadaan tidak bermaya.
“Petugas operasi yang kemudian memeriksa mendapati mangsa adalah individu yang dicari. Dia ditemui selamat dalam keadaan tidak bermaya.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan pada jam 1 pagi tadi.
Isnin lalu, media melaporkan Mohd Fakhrul dilaporkan hilang pada 4.30 pagi selepas keluar mencari ketam seorang diri berhampiran sebuah resort di Port Dickson.
Mangsa sebelum itu menyertai aktiviti perkelahan di sini bersama seorang saudara dan rakannya pada Ahad.
Susulan kehilangannya, SAR yang membabitkan APM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diaktifkan dengan kawasan pencarian meliputi satu kilometer dengan tumpuan di kawasan pantai Lagun Biru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!