Ladang lembu persis Kundasang, Sabah
PASIR PUTEH - Suasana ladang lembu tenusu berhampiran Jeram Mengaji, Selising di sini yang persis Kundasang, Sabah menjadi pembakar semangat buat seorang anak muda Nik Syazwan Najmi Sukeri, 20, untuk terlibat dengan lebih serius dalam bidang berkenaan.
Sungguhpun usianya masih 'mentah' Nik Syazwan Najmi enggan menoleh ke belakang sebaliknya menegaskan dia sudah bersedia untuk meneruskan perusahaan milik keluarganya itu.
Nik Syazwan Najmi berkata, dia mula terdedah dengan dunia ternakan lembu tenusu ini ketika berusia 9 tahun.
"Minat itu makin berputik dari semasa ke semasa dan sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya memutuskan untuk serius dalam bidang ternakan ini.
"Hasil sokongan padu daripada ibu, ayah, agensi kerajaan negeri dan Pusat saya bertambah yakin untuk memperbesarkan lagi projek ini," katanya.
Menurutnya, setakat ini dia mempunyai 32 ekor lembu tenusu yang diimport dari New Zealand dan Australia.
Katanya, setiap ekor lembu itu mampu mengeluarkan 15 kilogram susu setiap hari.
"Kini saya juga sudah menghasilkan produk sendiri yang berjaya menembusi pasaran luar dari negeri ini
"Antara produk yang saya hasilkan ketika ini ialah susu segar, susu berperisa, dadih dan yogurt," katanya.
Nik Syazwan Najmi berkata, pihaknya turut membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri suasana memerah susu lembu segar dari ladang.
Katanya, ia menjadi tarikan baharu ladang tenusunya yang dibuka kepada orang ramai.
Menurutnya, orang ramai boleh menikmati udara bersih dan minum susu segar sambil melihat pemandangan indah persis di Kundasang, Sabah.
"Tempat ini sering menjadi pilihan pelajar-pelajar sekolah membuat lawatan dan juga pengantin baru untuk bergambar.
"Ia dibuka secara percuma kepada orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!