Tiga pesakit di Kuala Krai negatif Covid-19

Sehingga semalam belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 di Kelantan. - Foto 123RF
Sehingga semalam belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 di Kelantan. - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga pesakit di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai yang disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19) disahkan negatif wabak berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia berdasarkan ujian makmal ketiga-tiga kes tersebut yang diperoleh petang semalam.

“Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa ketiga-tiga kes tersebut merupakan kes disyaki Covid-19 dan dalam pemantauan jabatan.

“Pada petang ini (semalam) keputusan ujian makmal ketiga-tiganya didapati tiada jangkitan Covid-19 dan sehingga hari ini (semalam) belum ada kes yang disahkan positif Covid-19 di negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan tular di media sosial semalam kononnya terdapat tiga orang disyaki telah dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Dr Zaini menegaskan pengurusan kes-kes yang disyaki Covid-19 di negeri ini adalah berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan juga ingin memaklumkan sehingga 4 Mac 2020, sebanyak 26 kes disyaki Covid-19 dikesan di negeri ini dan ujian makmal menunjukkan kesemua 26 kes ini adalah negatif Covid-19.

“Sehubungan itu, pihak kami meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

“Juga mengamalkan etika batuk yang betul dan mengelakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!