Pelajar rabun cemerlang SPM

Fadlein tetap berbangga dengan dirinya walaupun hadir seorang diri tanpa kedua ibu bapa semasa mengambil keputusan tersebut.
Fadlein tetap berbangga dengan dirinya walaupun hadir seorang diri tanpa kedua ibu bapa semasa mengambil keputusan tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun tidak dapat melihat seperti orang lain, namun Fadlien Fitrieyah Fauzi,17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pintu Geng berjaya membuktikan masalah rabun yang dialami tidak menghalangnya untuk memperoleh 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Anak bongsu daripada enam beradik itu tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu memandangkan hanya mendapat 1A semasa ujian percubaan sebelum ini.

Berkat kesungguhan dan tawakal kepada ALLAH SWT, Fadlein yang juga anak kepada seorang tukang urut ini dinobatkan calon berkeperluan khas (CBK) terbaik SPM kali ini.

"Saya terkejut sebab tidak jangka dapat keputusan 6A sebab saya hanya menumpukan perhatian dalam kelas saja. Apa pun ini hadiah yang cukup bernilai kepada saya dan untuk ibu dan ayah saya.

"Kepada mereka yang kurang berkemampuan, jangan jadikan ia sebagai alasan atau penghalang untuk kita berjaya. Jadikan ia sebagai pemangkin untuk lebih berjaya sama seperti orang lain yang normal.

"Saya tidak pernah merasa rendah diri dengan kekurangan ini dan anggap ada rezeki tersembunyi di sebalik apa yang ALLAH SWT berikan kepada kita," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Pelajar SMK Pintu Geng bergambar bersama selepas majlis pengumuman keputusan SPM dibuat pagi tadi
Pelajar SMK Pintu Geng bergambar bersama selepas majlis pengumuman keputusan SPM dibuat pagi tadi

Fadlein yang bercita-cita menjadi seorang usahawan dan mahu membuka restoran itu juga memberitahu, solat hajat merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkannya pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

"Saya sentiasa solat hajat berdoa supaya ALLAH permudahkan segala urusan dan saya juga gembira sebab ayah banyak mendengar masalah saya. Walaupun saya dalam keadaan seperti ini, tapi sokongan dan dorongan ibu dan ayah memang menjadi semangat utama saya," katanya.

Walaupun mata sebelah kiri tidak nampak, namun Fadlein masih berharap mata kanannya akan mampu bertahan walaupun kini berdepan masalah kabur yang teruk.

Menjalani peperiksaan menggunakan kertas dan tulisan yang besar, Fadlein tetap tidak malu dan sentiasa menanam dalam dirinya supaya sentiasa bersemangat dan tidak mudah mengalah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!