PH Selangor singkir ahli Bersatu dalam jawatan kerajaan

Amirudin (tengah) pada sidang media pimpinan PH di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.
Amirudin (tengah) pada sidang media pimpinan PH di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan lagi sebahagian dalam komponen PH di Selangor.

Amirudin berkata, semua jawatan pimpinan dan ahli Bersatu dilucutkan secara berperingkat bermula hari ini sementara peruntukan kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan dua wakil Bebas dibekukan.

Menurutnya, ia sebagai menghormati mandat rakyat yang memberikan kepercayaan yang tinggi kepada PH di negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kami pemimpin PH menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mengekalkan kestabilan dan perpaduan di Selangor. PH akan terus berusaha memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat.

"Justeru, semua jawatan pimpinan dan ahli Bersatu dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaian berkaitan akan dipecat," katanya pada sidang media pimpinan PH di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini hari ini.

Amirudin berkata, keputusan tersebut turut berkuat kuasa terhadap Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyandang jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

"Pimpinan PH di Selangor kini mempunyai 43 wakil sementara pembangkang terdiri 13 wakil dari UMNO, Pas, Bersatu dan Bebas (Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Gombak Setia, Hilman Idham) yang dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kedudukan kerusi di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga akan berubah, wakil Bersatu akan diletakkan di blok pembangkang yang akan berlangsung pada 16 Mac ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan wakil rakyat mengikut parti di Selangor adalah 19 dari PKR, 16 wakil DAP, lapan Parti Amanah Negara (Amanah), lima dari UMNO dan Bersatu, dua wakil Bebas serta satu dari Pas.



Kedudukan wakil rakyat mengikut parti di Selangor:

- 19 PKR

- 16 DAP

- 8 Amanah

- 5 UMNO

- 5 Bersatu

- 2 Bebas

- 1 Pas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!