Perak terima mesin pengimbas suhu badan lagi dua minggu
TAPAH - Dua mesin pengimbas suhu badan yang dimohon kerajaan Perak akan diperoleh selewat-lewatnya dua minggu lagi, kata Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM140,000 bagi dua mesin berkenaan kepada Jabatan Kesihatan.
"Permohonan ini telah diluluskan dan bila-bila masa sahaja mesin itu akan sampai, saya kira mungkin dalam tempoh dua minggu ini," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan mesin dialisis oleh Syarikat VK Kalyanasundram Sdn Bhd kepada Unit Hemodialisis Hospital Tapah di sini hari ini.
Menurutnya, mesin berkenaan adalah satu keperluan penting dan perlu disegerakan memandangkan wabak koronavirus (Covid-19) yang masih menular.
"Setakat ini hanya dua (mesin) seperti dicadangkan sebelum ini," katanya.
Januari lalu, kerajaan Perak umum untuk menempatkan mesin pengimbas suhu di pintu keluar masuk antarabangsa Pengkalan Hulu dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.
Langkah itu bagi tujuan saringan awal kepada semua pelancong yang masuk ke negeri ini bagi mencegah penularan Covid-19.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih banyak syarikat swasta tampil membantu menyediakan mesin dialisis menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, pada masa kini, ramai pesakit terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama akibat kekurangan mesin di hospital-hospital kerajaan.
"Untuk menyediakan mesin ini sudah tentu kita memerlukan kos yang tinggi kerana itu kita perlukan lebih banyak syarikat tampil menderma.
"Tahun ini, syarikat VK Kalyanasundram Sdn Bhd menyumbang dua mesin dialisis masing-masing untuk kegunaan pesakit di Hospital Tapah dan Hospital Teluk Intan," katanya.
Hadir sama dalam program itu, Pengarah Hospital Tapah, Dr Anim Ali dan Pengarah Urusan VK Kalyanasundram Sdn Bhd, B Kala.
Sehingga kini, Hospital Tapah mempunyai 16 mesin dialisis yang digunakan 45 pesakit buah pinggang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!