Sekat pelawat dari beberapa wilayah di tiga negara serta-merta
Gambar hiasan.Foto: 123rf (Gambar kecil: Dr Noor Hisham Abdullah)
A
A
A
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekatan itu dibuat kepada semua pelawat tanpa mengira warganegara.
"Sekiranya pelawat mengunjungi Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna di Itali, Hokkaido,Jepun dan Tehran, Qom dan Gilan di Iran dalam tempoh 14 hari, mereka disekat memasuki negara ini," katanya.
Menurutnya, saringan akan dilakukan terhadap rakyat Malaysia yang tiba dari wilayah berkenaan.
"Bagi rakyat Malaysia yang berada di bandar atau wilayah tersebut mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia di luar negara turut digalakkan untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran.
"Maklumat mengenai Kedutaan Malaysia di luar negara boleh dirujuk di laman web Kementerian Luar Negeri di lkn.gov.my," katanya.
Sebelum ini, negara ini telah menyekat pelawat dari beberapa wilayah di China dan Korea Selatan sebagai langkah membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!