Dua pekerja maut tertimbus tanah
TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Dua pekerja warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah di tapak projek perumahan di Mentakab hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ketika kejadian tiga pekerja telah membuat kerja-kerja menanam paip najis dengan kedalaman kira-kira enam meter di lokasi terbabit.
Menurutnya, ketika itu tiga pekerja berkenaan berada di dalam lubang yang digali dan terdapat dua jentera pengorek berada di atas melakukan kerja-kerja mengorek tanah.
"Semasa kerja-kerja itu dijalankan, timbunan tanah lubang tersebut telah runtuh dan menyebabkan dua pekerja tertimbus manakala seorang lagi terselamat.
"Kedua-dua mangsa tidak dapat diselamatkan akibat runtuhan tanah yang banyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab.
"Mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!