Pemikiran politikus di Malaysia

A
A
A

Perbincangan ringkas ini dimulakan dengan Otak Triun (Triune Brain) yang diteorikan oleh pakar perubatan dan neurosaintis Paul MacLean pada dasawarsa 1960-an. Ia bermakna tiga dalam satu – manusia mempunyai fungsi tiga otak dalam satu otak menurut teori perkembangan otak. Wujud juga penentang teori itu dalam kalangan proponen Otak Integratif. Namun mari kita lihat bagaimana teori itu relevan dalam perbincangan kita.

Buaya ialah misalan haiwan yang mempunyai otak reptilia yang primitif. Sifatnya ialah instinktual yakni naluri pemandirian menerusi makan, mengawan dan kuasa untuk memastikan kedua-duanya diperoleh. Otak instinktual itu juga digelar sebagai otak dinosaur atau cicak dan dinamakan tangkai otak dalam sistem saraf insan.

Singa ialah misalan haiwan yang mempunyai otak limbik atau mamalia. Singa makan, mengawan dan kuasa untuk memastikan kedua-duanya diperoleh adalah menerusi emosi yang nyata. Otak emosional itu juga digelar sebagai sistem limbik dalam sistem saraf insan. Otak itu lebih tinggi darjatnya daripada otak primitif tadi.

Mari kita lihat kelompok (pride) singa. Ia mempunyai daerah di bawah jajahannya yang diperjuangkan. Bilangan bininya pun banyak dan singa-singa betina ini sangat akur kepada raja singa. Bila raja singa menjadi tua, anak betinanya atau bini mudanya pun dirampas oleh singa muda yang menjeling takhtanya.

Otak yang tertinggi darjatnya ialah neokorteks atau otak yang berfikir dalam kepala manusia. Bahagian prafrontal neokorteks yang maju menjadikan insan ‘haiwan’ rasional. Maka insan tidak wujud hanya untuk makan dan mengawan saja. Ia boleh berfikir untuk menjulang tamadun atau sebaliknya membuat kesilapan hingga memusnahkan tamadun. Ini berkaitan dengan domain moral-spiritual (MS) yang kuat atau lemah. Jika sifat MSnya kuat maka profil hayatnya tinggi mengawan ke arah tujuh lapisan langit. Jika lemah dan hampir tiada, profil insan itu hampir macam singa.

Para politikus yang berstandard tinggi menggunakan kebolehan neokorteksnya sebaik mungkin. Ini dipadukan pula dengan keupayaan MS yang mulia dan insani.

Dalam hayat politikus veteran, pelbagai adegan yang dihadapinya di pentas politik adalah umpama siri permainan catur. Fungsi otak rasionalnya digunakan seoptimum mungkin untuk menang dan untuk mengalahkan musuh. Tidak guna bermain catur hanya untuk disyahmat (checkmated) berkali-kali dan kalah di gelanggang permainan. Etos

Sebahagian daripada golongan politikus dapat menambat hati rakyat biasa. Politikus yang sedar bahawa menerusi perkhidmatan kepada rakyat biasa mereka dapat memperoleh pahala atau dosa adalah ahli politikus yang mempunyai kecelikan akal.

Artikel Berkaitan:

Saya bersimpati kepada para politikus yang kadangkala sukar membuat keputusan siasah mereka. Ada ketika mereka melakukan kesilapan kecil atau besar.

Noktah akhir yang saya hendak sebut di sini ialah siasah naungan (patronage politics). Ia bukan saja berlaku dalam sistem diktatorial seperti yang berlaku di Asia Barat, Amerika Latin atau di Asia, tapi juga dalam sistem demokrasi di merata dunia. Biasanya ia berlaku dalam keluarga siasah atau dalam kelompok siasah yang menjaga etos siasah kekeluargaan atau kekelompokan.

Semakin tua master politician veteran siasah yang menjadi godfather keluarga atau kelompok siasah itu, semakin keras dan tidak anjal dogma yang diperjuangkan oleh mereka. Jika veteran tua itu seorang yang pendendam, suasana akan bertambah rumit. Ini bertambah buruk jika dua atau tiga keluarga-kelompok bersaing untuk mendapatkan perhatian masyarakat.

Perseteruan siasah untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa demi kelestarian etos yang disanjung serta pemandirian (survival) keluarga-kelompok akan menjadi beban kepada masyarakat. Dalam sistem demokrasi yang minimum rasuah (hampir mustahil hendak kita hilangkan rasuah sepenuhnya dalam sesebuah negara), kebarangkalian keadaan itu berlaku dapat dikurangkan.

Akhirnya, insan siasah mempunyai pilihan. Ia hendak menggunakan otak insannya untuk menggapai tujuh lapisan langit atau hanya puas hati dengan menggunakan otak singa.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!