Timbul desas-desus Latheefa Koya letak jawatan

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dikatakan telah meletakkan jawatan susulan perubahan dalam kerajaan.

Langkah itu diambil selepas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas turut melepaskan jawatan beliau ekoran peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Menurut sumber, Latheefa telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi sebelum ke mahkamah sebagai saksi ke-13 pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-88 kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Memang desas-desus mengenai peletakan jawatan Latheefa bertiup kencang hari ini.

"Difahamkan pada sebelah pagi beliau ke Pejabat Perdana Menteri sebelum ke Mahkamah Tinggi untuk beri keterangan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Latheefa dilantik untuk memegang jawatan tersebut untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu dan timbalannya Datuk Seri Azam Baki dikatakan menggantikannya mulai Isnin ini.

Latheefa memulakan hari pertama sebagai ketua SPRM pada 7 Jun tahun lalu.
Latheefa memulakan hari pertama sebagai ketua SPRM pada 7 Jun tahun lalu.

Pelantikan Latheefa adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan itu berlaku selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull memohon untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Latheefa yang berusia 47 tahun adalah bekas Anggota Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty.

Dilahirkan di Kerala, India, beliau adalah peguam dan aktivis hak kemanusiaan yang aktif melalui Lawyers for Liberty.

Selepas menubuhkan Lawyers for Liberty pada tahun 2011, Latheefa menjadi penasihat sehingga 2018 sebelum menjadi Pengarah Eksekutif sehingga kini.

Pada 21 Mei tahun lalu, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020.

Mohd Shukri, 58, berkhidmat selama 32 tahun di SPRM sebelum bersara pada 4 Oktober 2016 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!