Mayat tersangkut di palang siling rumah

Mangsa diusung bomba untuk tindakan lanjut.
Mangsa diusung bomba untuk tindakan lanjut.
A
A
A

MELAKA - Empat sekeluarga mengalami pengalaman ngeri apabila kediamannya yang terletak di Jalan Ong Keng Hoon, di sini, ranap setelah salah seorang pekerja projek pembinaan bangunan kondominium bersebelahan terjatuh bersama beberapa besi 'staging' lalu menghempap bumbung salah satu bilik rumah mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Mohammad Nasir, 38, disahkan maut dan mayatnya ditemui dalam keadaan tersangkut pada palang siling rumah itu setelah terjatuh dari tingkat 20 bangunan ketika sedang melakukan kerja-kerja pembinaan.

Sebuah rumah yang terletak di Jalan Ong Keng Hoon, di sini ranap setelah salah seorang pekerja projek pembinaan bangunan kondominium bersebelahan terjatuh lalu menghempap bumbung rumah terbabit, hari ini.
Sebuah rumah yang terletak di Jalan Ong Keng Hoon, di sini ranap setelah salah seorang pekerja projek pembinaan bangunan kondominium bersebelahan terjatuh lalu menghempap bumbung rumah terbabit, hari ini.

Pemilik rumah terbabit, Tan Soo Puay, 55, berkata, dia tidak menyangka kebimbangannya selama ini tentang kesan yang mungkin berlaku daripada projek berkenaan benar-benar menjadi kenyataan.

"Kami terkejut sebaik mendengar dentuman yang kuat sebelum orang gaji bergegas ke arah bunyi berkenaan.

"Sebaik naik ke tingkat atas ternampak tubuh manusia tersangkut di palang siling," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian.

Menurut Soo Puay, sudah menjadi kebiasaan setiap hari ibunya yang uzur berusia 89 tahun akan berehat di dalam bilik berkenaan namun hari ini dia berada di ruang tamu tingkat bawah.

"Kebiasaannya pada waktu pagi, emak akan berehat di bilik berkenaan tetapi hari ini dia memilih untuk berada di rumah tamu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak dapat bayangkan kalau emak berada dalam bilik ketika kejadian, mungkin sesuatu lebih teruk berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi lalu bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa dipercayai terjatuh dan tersangkut di palang siling rumah dua tingkat mengakibatkan kerosakkan di bumbung dan bahagian belakang rumah.

"Mangsa didapati sudah meninggal sebaik kita tiba selain terdapat runtuhan 'staging' berhampiran mayat selain kawasan rumah," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, projek pembinaan bangunan kondominium 24 tingkat berkenaan mula dibina sejak tiga tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!