'Rakyat dah bosan, tak kesah siapa PM atau menteri'
SHAH ALAM - Kerajaan baharu yang terbentuk hari ini bukan kerajaan pintu belakang tetapi kerajaan yang terpaksa dibina disebabkan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, keruntuhan kerajaan PH disebabkan Dr Mahathir sendiri.
"Apabila seorang Perdana Menteri meletakkan jawatannya maka semua menteri Kabinet juga gugur secara langsung. Malah apa-apa jawatan lantikan juga gugur. Tindakan (bekas Peguam Negara) Tommy Thomas letak jawatan itu tepat sekali.
"Kerajaan PH runtuh kerana Tun M sendiri. Tun M tidak menjadi PM kelapan, jadi kerajaan yang baharu ini bukanlah kerajaan pintu belakang, tetapi kerajaan dengan PM baru dan parti komponen yang baru," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya semalam.
Menurutnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneliti dan menyoal semua ahli Parlimen dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Hakim Negara adalah satu tindakan bertepatan dengan Undang Undang Tubuh negara.
"Agong membuat keputusan melantik Muhyiddin sebagai PM kelapan setelah yakin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Ia mengikut kuasa Agong dan tidak boleh dicabar mana-mana pihak.
"Maksudnya ketika Agong membuat keputusan, Muhyiddin adalah yang mendapat sokongan majoriti.
"Hampir setiap jam pendirian ahli Parlimen berubah-ubah, jika Agong menunggu hingga mendapat pendirian tetap saya rasa sampai kiamat pun tak akan berlaku," katanya.
Katanya, hasrat bubar Parlimen dan diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai penyelesaian kemelut politik PM kelapan juga belum tentu menyelesaikan masalah.
"Pastikah kita akan ada satu parti yang boleh menang dengan majoriti besar dan boleh ditubuh kerajaan baharu jika keputusannya sama seperti yang ada pada hari ini, dengan pertelagahan akan tetap berlaku seperti sekarang, apakah maknanya mengadakan PRU?
"Sebenarnya rakyat sudah bosan dengan pemimpin politik yang banyak cakap, banyak janji, banyak temberang dan pandai berpura-pura, ditambah lagi dengan politik balas dendam serta mencari salah orang sedangkan harapan rakyat hanya tinggal harapan," katanya.
Dr Mohamad Khir, rakyat juga tidak menaruh harap kepada kerajaan baharu ini kerana peralihan kerajaan berlaku disebabkan perebutan kuasa oleh golongan elitis yang hidup senang dengan memperjudikan nasib rakyat yang susah.
"Kepada kerajaan baharu, jika setakat hendak laksanakan Wawasan Kemakmuran Negara menyebabkan anda fikir rakyat akan sanjung maka anda silap besar.
"Polisi itu sudah tidak relevan lagi hari ini atas faktor perubahan termasuk komposisi penduduk, tahap pendidikan rakyat, keupayaan dan kemampuan rakyat, geografi penduduk negara dan juga kualiti hidup yang memerlukan kekuatan ekonomi tinggi.
Menurutnya, rakyat mahukan tawaran baharu daripada kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup
"Kepada kerajaan baru, rakyat tak kesah siapa yang jadi PM, menteri atau parti mana yang bentuk kerajaan kerana rakyat dah bosan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!