PKR teliti tindakan saman pemimpin keluar parti
PUTRAJAYA - Proses tuntutan saman berjumlah RM10 juta terhadap pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertindak keluar parti baru-baru ini dijangka selesai dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketika ini proses penelitian kes sedang giat dilakukan.
"Proses itu (tuntutan saman) sedang diuruskan bendahari parti (Lee Chean Chung).
"Ia melibatkan dua (pemimpin) yang dipecat dan sembilan yang keluar parti. Jadi kita ada proses (tuntutan saman) yang berbeza," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bila tuntutan saman ke atas wakil rakyat PKR akan dikeluarkan susulan tindakan mereka keluar parti.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 12 wakil rakyat dari PKR yang bertindak melompat parti bakal berdepan tindakan saman dan perlu membayar RM10 juta setiap seorang.
ARTIKEL BERKAITAN: 12 bekas wakil rakyat PKR bakal disaman RM10 juta
Chean Chung dilaporkan berkata, saman terbabit berdasarkan dokumen undang-undang yang ditandatangani wakil rakyat berkenaan sebelum mereka diletakkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
12 wakil rakyat terbabit terdiri daripada sembilan ahli Parlimen dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak); Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).
Tiga ADUN pula ialah Hilman Idham (Gombak Setia); Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Chong Fat Full (Pemanis).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!