Pegawai, anggota KD Lekiu negatif Covid-19: TLDM

Covid-19 -Foto 123RF
Covid-19 -Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ujian saringan pertama yang dilakukan terhadap pegawai dan anggota Kapal Diraja KD Lekiu semalam setelah tiba di Pangkalan Kota Kinabalu dari Korea Selatan mendapati kesemua mereka negatif Covid-19.

Markas Pemerintahan Armada Barat menerusi satu kenyataan memaklumkan semua warga kapal seramai lebih 150 pegawai dan anggota berada dalam keadaan sihat.

KD Lekiu dijangka meneruskan pelayaran pulang ke Pangkalan Lumut hari ini dan dijangka tiba di sana pada Isnin, demikian menurut kenyataan itu.

Saringan kedua akan dilaksanakan sebaik kapal tiba di Pangkalan Lumut sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan warga KD Lekiu bebas virus itu.

“Semua warga akan dikuarantin di kapal sehingga keputusan saringan kedua diperoleh dan dimuktamadkan oleh Bahagian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memastikan semua langkah keselamatan diambil mengikut garis panduan yang diberikan.

“TLDM akan memastikan semua prosedur dilaksanakan secepat mungkin bagi membolehkan semua warga berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing dalam kadar segera,” jelas kenyataan itu.

KD Lekiu berlepas dari Pangkalan Kota Kinabalu pada 5 Feb untuk mengiringi kapal tangki Petronas Floating Liquefied Natural Gas 2 (PFLNG 2) ke Jeti Samsung Heavy Industries (SHI) di Busan, Korea Selatan, pada 12 Februari sebelum kembali belayar ke tanah air pada 18 Februari.

Artikel Berkaitan:

Korea Selatan hari ini melaporkan 196 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kes di negara itu sebanyak 6,284 kes setakat ini. Tujuh lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian sebanyak 42 setakat ini.

- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!