Johari yakin ADUN PH Kedah tidak akan lompat parti

Johari (duduk, tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani, Jalan Tikam Batu-Sungai Petani, dekat sini hari ini.
Johari (duduk, tiga dari kanan) pada sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani, Jalan Tikam Batu-Sungai Petani, dekat sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Kedah diyakini akan terus memberikan sokongan bagi mengekalkan kerajaan negeri sedia ada dan tidak akan melompat untuk menyokong parti gabungan Perikatan Nasional membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pengerusi PH baharu Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya juga telah sepakat melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP di negeri itu untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kekal sebagai Menteri Besar walaupun Bersatu telah keluar daripada pakatan tersebut.

Menurutnya, beliau percaya pergolakan politik di peringkat Pusat dan negeri-negeri lain tidak akan mempengaruhi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari blok PH di Kedah yang komited dan menghormati mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Saya tidak jangka (lompat parti) sebab saya tahu ADUN-ADUN kita komited khususnya dalam PH kerana mereka memberikan komitmen kepada rakyat. Sebab itu saya pasti mereka akan memberikan fokus yang jelas kepada kawasan masing-masing kerana apa yang berlaku di Kuala Lumpur jauh dari di sini.

"Pentingnya negeri berfungsi (dengan baik) dan mengambil kira nasib rakyat. Keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, dilanda koronavirus (Covid-19), perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China dan kemelut politik di pusat, maka (seharusnya) sudah tentu nasib rakyat jadi keutamaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertutup Kepimpinan PKR Kedah di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani, Jalan Tikam Batu-Sungai Petani dekat sini hari ini.

Johari yang merupakan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Kedah telah diumumkan sebagai Pengerusi PH Kedah bagi menggantikan Mukhriz berkuat kuasa semalam selepas mendapat persetujuan Pengerusi ketiga-tiga komponen PH Kedah.

Dalam pada itu, satu pertemuan khas akan diadakan bersama Mukhriz dalam masa terdekat untuk membincangkan penstrukturan semula dan hala tuju kerajaan Kedah selepas negeri itu kini berstatus pembangkang.

"Saya telah berbincang dengan kawan kawan dalam Keadilan, kita akan cadangkan perubahan struktur dalam PH dan kita akan melihat kembali semua aktiviti kita dan kita akan perkemaskan, jadi sebagai Pengerusi PH baharu yang mendapat mandat dan amanah dari parti Amanah dan DAP.

Artikel Berkaitan:

"Saya berjanji untuk teruskan usaha kota yang murni ini. Sebelum pilihan raya lepas macam-macam janji kita. Sekarang saya lihat kenapa tak boleh tunai janji tersebut," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Sungai Petani dan ADUN Gurun tersebut, beliau berharap rakyat di negeri itu bertenang dan pihaknya juga akan menganjurkan Siri Ceramah Mandat Rakyat di beberapa kawasan yang dipilih bagi memberi penjelasan sebenar apa yang berlaku dalam situasi politik negara ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!