Krisis orang berilmu

A
A
A

MENUNTUT ilmu untuk menjadi orang yang berilmu adalah sangat dituntut bagi setiap manusia. Tanpa ilmu, kita akan tersasar jauh daripada paksi kehidupan.

Malah, Saidina Ali RA pernah berkata kepada seorang sahabatnya: “Wahai sahabat, ilmu itu lebih baik daripada harta kerana ilmu akan memelihara kamu sedangkan harta pula engkau terpaksa menjaganya. Ilmu akan menjadi hakim sedangkan harta pula ditentukan oleh hakim. Harta akan berkurangan dengan sebab nafkah sedang ilmu pula akan subur bila diajarkan”.

Sebetulnya orang yang berilmu, darjatnya begitu tinggi. Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang ingin menjadi orang berilmu. Pun begitu, siapakah mereka yang benar-benar berilmu begitu besar persoalannya?

Berkaitan hal itu, terdapat banyak tanggapan dan platform yang mengkategorikan mereka orang yang berilmu. Apa yang jelas, ada yang berfahaman bahawa dengan adanya Ijazah Doktor Falsafah atau PhD maka sudah tergolong dalam kelompok orang yang berilmu.

Natijahnya, ramailah individu yang ingin belajar sampai peringkat PhD dan tidak kurang juga yang sanggup membeli gelaran PhD.

Ada juga beranggapan bahawa menjuarai pertandingan dakwah sudah pun layak menjadi orang berilmu. Lantaran itu, muncullah pelbagai program untuk ‘mewatikahkan’ ilmu kepada mereka.

Selain itu, terdapat juga berfahaman bahawa dengan menghadiri beberapa kursus pendek sahaja mereka sudahpun berilmu.

Tambahan pula, kursus-kursus yang memberikan tauliah dan pengiktirafan kepakaran walaupun hanya hadir beberapa hari sahaja. Ada yang lebih teruk, hanya kerana individu itu amat dikenali serta mempunyai pengikut yang ramai sudahpun dianggap orang berilmu, malah begitu taksub dengan beliau.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya ilmu adalah melangkaui segala tanggapan dan fahaman yang telah saya jelaskan tadi. Pak Hamka pernah berkata: "Tidak salah lagi bahawa ilmu harus lebih dahulu daripada amal. Ibarat seorang pelukis yang sudah ada gambaran di otaknya sebelum diterjemahkan dalam bentuk lukisan. Namun, iman lebih tua daripada ilmu. Iman adalah menjadi dasar kepada ilmu. Apabila iman telah teguh maka bertambahlah ilmu”.

Berdasarkan kenyataan tersebut adalah jelas bahawa konflik keimanan menyebabkan seseorang itu berkrisis dengan ilmunya.

Sombong

Berbalik kepada isu kelayakan PhD tadi, masih ramai yang begitu ‘sombong’ dengan ilmu kerana nipisnya iman. Ketinggian ilmu membolehkan mereka melihat dan berfikir dalam pelbagai sudut, namun kadangkala kepincangan yang berlaku di hadapan mata sendiri pun tidak nampak.

Selain itu, menganggap mereka terlalu sempurna sehinggakan tidak boleh ditegur dan dinasihati oleh orang lain. Apa yang nyata, mereka itu tidak salah dan mengetahui semua perkara.

Ada pepatah Inggeris menyebut: “Seorang yang bodoh tidak mengetahui betapa bodohnya mereka dan seseorang yang bijak sangat mengetahui kurangnya pengetahuan yang ada pada mereka”. Namun, mengelak untuk mengakui kebenaran tersebut.

Selain itu, ada juga kelompok yang berkrisis dengan ilmu kerana begitu teruja dengan gelaran selebriti yang dikalungkan kepada mereka. Akhirnya, iman makin menipis walaupun berbicara soal iman. Lantaran itu, sebaran ilmu telah diperniagakan begitu rakus sekali. Pun begitu, perniagaan ilmunya tetap laris kerana masih ramai yang dahagakan ilmu.

Pada hemat saya, ilmu adalah amanah yang begitu besar dikurniakan oleh ALLAH. Kita tidak boleh berlagak dengan ilmu tersebut.

Sebaliknya kita harus ada perasaan gerun jika ilmu yang dikurniakan oleh ALLAH tidak digunakan dan sampai kepada masyarakat.

Amat malang jika kita berasa tingginya ilmu berbanding dengan orang lain. Ini kerana, boleh mendorong kita begitu riyak dengan ilmu serta memperlekehkan ilmu yang ada pada orang lain.

Ingatlah, ilmu ini begitu luas dan begitu banyak cabang-cabang ilmu. Jika kita mudah berpuas hati dengan ilmu di dada, adalah ibarat tanah lapang yang menadah air hujan yang turun dari langit tetapi hanya bertakung membentuk kolam tetapi tidak mengalir ke tempat lain.

Lama-kelamaan kolam itu akan menjadi kering dan airnya pula membusuk setelah kemarau melanda. Justeru, alirkan ilmu itu dengan ikhlas walaupun sedikit.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!