Debaran Kabinet Muhyiddin
SEMINGGU setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, kemelut politik mereda sedikit.
Walaupun ramai yang suka dan sayang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat berasa lega sebab akhirnya PM baharu telah dilantik tanpa sebarang kekecohan.
Tetapi dalam kalangan orang politik dengan sahnya Muhyiddin menjadi orang No.1, masing-masing masih menunggu dalam debar yang kencang.
Sehari dua ini tumpuan semua orang, khasnya orang politik, ialah siapa yang akan jadi menteri.
Maka pagi-petang, siang-malam mereka yang bercita-cita – dan yang menaruh harapan – selalu bertanya-tanya: berapa jumlah anggota Kabinet? Siapa akan menjadi menteri? Siapa menjadi timbalan menteri?
Malah, bukan tidak mungkin dalam sehari dua ini ramai yang terhegeh-hegeh bertemu, bersalam dan memeluk Muhyiddin untuk berbisik-bisik sambil batuk-batuk kecil...
KETIKA semua berdebar menunggu Kabinet baharu, ada macam-macam khabar angin atau berita palsu tersebar di media sosial.
Khabar angin lebih banyak dari nyamuk aedes, semua menarik dan mendebarkan. Mereka tahu siapa akan jadi menteri, siapa pegang portfolio apa.
Sebagai orang biasa, Tok berharap Muhyiddin memilih dengan baik untuk membentuk jemaah yang bersih lagi berintegriti.
Kalau sudah tahu orang itu korup, kaki busuk, tidak perlu pilih jadi menteri. Kalau orang itu sebelum ini terlibat dengan skandal dan kontroversi, jangan pilih. Nanti orang kata menteri skandal.
Kalau sudah tahu orang itu tidak berapa cerdik, jangan ambil jadi menteri, nanti orang kata menteri bangang.
Kita ada ramai orang yang bersih, tidak rasuah, bukan kaki maksiat, bukan kaki perempuan. Pilihlah mereka.
ADA yang pandai-pandai mencadangkan supaya Muhyiddin mengekalkan beberapa menteri sebelum ini, kerana prestasi baik mereka.
Antara yang dicadangkan ialah Dr Dzulkefly Ahmad. Di saat-saat akhir pentadbiran PH, nama Dr Zul melonjak gara-gara virus maut dari Wuhan.
Semua orang bersetuju beliau bekerja keras memberi penjelasan dan tenangkan rakyat mengenai Covid-19.
Tetapi sehari dua ini Covid-19 semakin menular di tempat kita, jumlah kes yang dikesan meningkat setiap hari, kebimbangan memuncak.
Sebab itu seperti yang dinyatakan oleh Dr Zul sendiri: “Kalau betul saya ditugaskan kembali ke kementerian, ini betul-betul satu cabaran buat saya".
Apa pun baik Dr Zul atau sesiapa sahaja di luar sana, tenang-tenang sahaja. Jangan terlalu gembira, tunggulah sehingga surat tawaran betul-betul datang dari pejabat Perdana Menteri.
ADA juga orang yang awal-awal sudah merasakan akan mendapat kedudukan dengan keluar dari parti asal melompat ke kelompok lain.
Waktu hendak melompat dia kata “tidak ada paksaan, tinggalkan parti atas rela sendiri. Tidak ada tawaran atau habuan apa-apa...”
Tetapi ternyata setelah melompat dan bersekongkol dengan sebelah sana, dia yang tidak ada paksaan dan rela hati itu ditawarkan menjadi exco negeri, tersenyum panjang hingga ke telinga.
Maka kita tunggu dan lihat selepas ini berapa ramai lagi kaki lompat parti akan menjadi menteri pusat, berapa ramai dapat jadi timbalan menteri.
Malah, adakah ramai-ramai yang lompat itu akan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Berbaloi melompat sekiranya jadi TPM!
SAMA ada mendapat jawatan Kabinet atau ditawarkan lain-lain habuan, satu perkara tidak berapa sedap menunggu mereka yang lompat parti.
Seperti dilaporkan media, PKR akan mengheret 12 wakil rakyatnya yang melompat parti ke mahkamah.
Mereka yang belot itu dikehendaki membayar RM10 juta setiap seorang, kata bendahari parti itu, Lee Chean Chung.
Berbaloikah menjadi menteri atau timbalan menteri sekiranya terpaksa pula membayar RM10 juta?
AKHIR kalam, Latheefa Koya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terdahulu Peguam Negara Tommy Thomas juga melepaskan jawatan.
Demikianlah sekali air bah sekali pantai berubah...
TOK PERAK
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!