Kuasa bagi yang berkuasa
AWANG sebetulnya tak hairan jikalau Tan Sri Muhyiddin Yassin, PM kita ambil keputusan tangguh sidang Parlimen. Sidang yang sepatutnya bermula pada 9 Mac ini dengarnya ditangguhkan hingga 18 Mei.
Itulah kuasa yang ada pada seorang yang berkuasa. Oleh sebab itulah orang hendak kuasa sebab dengan kuasa boleh buat apa saja. Lebih-lebih lagi sebagai Perdana Menteri. Kuasa di tangan seorang Perdana Menteri cukup banyak.
Mungkin ada baiknya ditangguh sidang Parlimen. Maklumkan, Tan Sri Perdana Menteri dengarnya tak dapat sokongan majoriti yang besar sebagai PM. Kata orang undi cukup-cukup makan saja. Itu pun khabarnya Tun Mantan Perdana Menteri ada jumlah yang lebih besar pada saat akhir.
Dalam keadaan panas seperti sekarang, macam-macam boleh berlaku di Parlimen. Mungkin orang sebelah sana siap sedia nak ambush dengan undi tak percaya. Yang pasti sokongan pada Tan Sri PM masih goyah. Oleh sebab itu dia perlukan masa untuk mantapkan diri. Maklum bila dah jadi PM, yang tak sokong dulu mungkin akan bertukar fikiran.
Orang politik nak hidup. Sokong orang yang tak jadi PM lagi apa gunanya. Baik cepat-cepat tukar kapal. Soal prinsip boleh tolak tepi dulu. Kata orang putih ini soal survival. Nak hidup.Begitulah politik. Tan Sri PM bukan orang baharu. Dah masak sangat soal tendang terajang politik. Mungkin dalam masa dua bulan ini dia akan kuatkan kedudukan serta tumpu lebih banyak masa nak pulihkan ekonomi.
Harap-harap begitulah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!