‘Keldai akaun’ punca kerugian jutaan ringgit
PELBAGAI cara dan kaedah sindiket scam untuk menipu mangsa. Ada yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasa seperti polis, Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pegawai bank untuk menakutkan mangsa dan akhirnya wang tunai milik mangsa berjumlah ribuan ringgit diserahkan begitu sahaja kepada sindiket melalui transaksi secara atas atas talian.
Selain itu, wujud juga sindiket penipuan didalangi warga asing yang kononnya menagih cinta kepada mangsa yang dijadikan kekasih yang kemudiannya kerugian besar selepas terpedaya dengan janji manis mangsa.
Peliknya, biarpun polis sering melaksanakan pelbagai langkah pencegahan menerusi kempen dan lain-lain medium, namun kes masih tetap dilaporkan berlaku. Mengapa? Adakah sebab masyarakat kita kurang celik dan tidak ambil iktibar? Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, di Selangor terdapat empat kes penipuan (scam) yang kerap dilaporkan iaitu Macau Scam, Love Scam, pembelian online serta pinjaman tidak wujud (PTW).
Menurutnya, daripada empat scam tersebut, bermula dari tahun 2018 sehingga Februari 2020, kerugian dicatatkan mencecah RM441.03 juta.
"Siasatan polis mendapati di antara 'pendukung' yang membantu menggerakkan kegiatan penipuan ini adalah keldai akaun.
Scam tidak berjaya tanpa keldai akaun
"Scam tidak akan berjaya tanpa keldai akaun yang mana majoritinya adalah rakyat tempatan sendiri. Sama ada mereka diupah untuk memberikan akaun mereka, diperdaya dan lain-lain faktor, itu tetap menjadi satu kesalahan.
"Kita tidak tolak kemungkinan ada ejen yang memainkan peranan mencari individu untuk dijadikan sebagai keldai akaun dengan bayaran sekitar RM100 hingga RM200. Masyarakat perlu sedar perkara ini, usah sewenangnya menyerahkan akaun anda kepada mana-mana pihak kerana ia mengundang bencana kepada anda kerana siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, sejak tahun lalu, seramai 241 pemilik akaun telah diberkas dan 156 daripada telah dituduh. Operasi akan terus dilaksanakan bagi mengesan keldai akaun ini sebagai usaha menangani kes scam.
Mengulas tentang modus operandi sindiket, Fazlisyam berkata, bagi Macau Scam, suspek akan menyamar sebagai pegawai polis, SPRM, kastam dan penguatkuasa lain serta syarikat kurier yang mendakwa mangsa ada terlibat dengan jenayah, dadah dan lain-lain kes.
Katanya, mangsa kemudian diarah untuk menyerahkan maklumat peribadi kewangan dan segera memindahkan wang ke akaun yang diarahkan suspek.
"Suspek turut mengingatkan mangsa untuk tidak memberitahu kepada sesiapa dan mendakwa ia adalah maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kebanyakan mangsa akan sedar bila menceritakan perkara itu kepada orang lain selain suspek yang kemudian gagal dihubungi," katanya.
Love Scam
Tambahnya, bagi Love Scam, sindiket yang didalangi warga Afrika ini akan menyamar dengan menggunakan identiti lain di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Wechat.
"Selepas berkenalan dengan mangsa, suspek akan menggunakan pujuk rayu bagi meraih cinta mangsa. Selepas itu, suspek kononnya akan menghantar barang kepada mangsa kononnya sebagai hadiah. Namun, mangsa akan dihubungi 'syarikat kurier' atau 'kastam' kononnya hadiah itu bercukai dan sebagainya.
"Mangsa kemudian diarah untuk memasukkan sejumlah wang bagi menuntut hadiah terbabit," katanya.
Bagi PTW pula, sindiket juga menggunakan media sosial memaparkan iklan pinjaman wang berlesen.
"Suspek kemudian akan mengarahkan mangsa menjelaskan sejumlah wang kononnya sebagai cas perkhidmatan dan lain-lain. Namun setelah mangsa memasukkan wang, suspek gagal dihubungi," katanya.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius menangani jenayah ini dengan pelbagai tindakan pencegahan dilaksanakan bersama kerjasama pelbagai pihak seperti bank.
Malah, beliau juga menasihatkan golongan muda untuk memantau ibu bapa masing-masing kerana berdasarkan perkembangan hari ini, kebanyakan mangsa scam adalah terdiri daripada warga tua.
Selain itu, orang ramai disaran untuk membuat semakan, jangan mudah percaya dengan mana-mana pihak yang mengaku daripada agensi kerajaan dan kenalan baru yang dikenali di media sosial apatah lagi diminta untuk memasukkan wang ke atas akaun milik individu lain.
"Jika was-was, boleh semak melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!