Tauke martabak upah gengster kelar pekerja restoran lain
SINGAPURA - Seorang pemilik restoran martabak terkenal di Singapura didapati bersalah hari ini kerana mengupah samseng bagi menyerang pekerja restoran lain.
Hakim berkata, kes itu adalah berkaitan persaingan perniagaan membabitkan restoran Zam Zam dan Victory di North Bridge Road yang berlarutan selama hampir 100 tahun.
Pemilik Zam Zam, Zackeer Abbass Khan, 49, berkomplot dengan beberapa individu lain untuk mengelar muka dan mencederakan penyelia restoran Victory, Liakath Ali Mohamed Ibrahim.
Zackeer mengarahkan rakan perniagaannya, Anwer Ambiya kadir untuk mengupah samseng bagi mencederakan mangsa.
Anwer kemudian mengupah Joshua Navindran Surainthiran untuk mengelar muka mangsa dengan pisau pada 26 Ogos 2015.
Akibat serangan itu, mangsa mempunyai parut di wajahnya dan Joshua dijatuhi hukuman enam setengah tahun penjara dan enam sebatan pada 2016.
Hakim menolak hujah-hujah pembelaan bahawa tertuduh hanya ingin memberi amaran lisan kepada mangsa dan Joshua sendiri yang memberi cadangan mencederakan mangsa.
Kedua-dua tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan semula kes pada 13 April depan.
Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah secara sengaja menggunakan alat pemotong adalah penjara seumur hidup atau sehingga 15 tahun selain kemungkinan dirotan serta denda. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!