Perpaduan untuk kesejahteraan negara
KANGAR - Aspek perpaduan adalah faktor utama kepada keamanan dan kesejahteraan sesebuah negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika diminta mengulas berkaitan kepentingan keharmonian dan perpaduan dalam negara.
Baginda bertitah, keharmonian adalah salah satu manifestasi dalam membentuk perpaduan yang membawa maksud aman, tenteram, bahagia dan tenang.
Namun, titah baginda, setiap individu pasti mempunyai definisi keharmonian masing-masing.
“Hampir semua masyarakat bertamadun yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pandangan atau pernah melalui proses orientasi agama atau kepercayaan dalam sejarah perkembangan peradaban mereka.
“Oleh kerana sifat kesejagatan pengaruh agama membentuk nilai dalam masyarakat, maka kajian mengenai masyarakat tidak akan lengkap tanpa melihat agama sebagai antara faktor yang mempengaruhi pembentukan nilai masyarakat dalam sesebuah negara.
“Dalam Islam, nilai agama bertunjangkan kepercayaan kepada Tuhan. Bagi umat Islam, nilai yang dipegang berpandukan kepada ajaran dan bimbingan al-Quran serta sunnah,” titah baginda kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, oleh kerana sebahagian besar penduduk Islam beragama Islam, maka tentulah nilai agama Islam yang sangat mementingkan keharmonian memainkan peranan dalam sejarah dan membentuk masyarakat Malaysia hingga hari ini.
Titah baginda lagi, semua agama sememangnya menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia.
“Islam sebagai agama yang mensejahterakan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia meskipun anutan agama mereka berbeza daripada Islam.
“Islam ialah agama yang mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja termasuk kepada yang bukan Islam dan sangat mengelak perkara-perkara yang boleh berlakunya permusuhan,” titah baginda.
Baginda bertitah, masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan.
“Semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), komuniti Rukun Tetangga, pemimpin dan rakyat secara keseluruhannya digesa supaya bergabung tenaga serta idea untuk mengambil peranan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan kesatuan rakyat pada semua peringkat.
“Idea untuk mengukuhkan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum amatlah digalakkan dan perlu dipertingkatkan serta dimantapkan lagi pada masa-masa akan datang,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, rakyat diingatkan agar membudayakan perpaduan dalam kehidupan seharian bagi memastikan mereka memahami dan menghayati dengan jelas asas sesebuah perpaduan.
“Dengan ini juga, rakyat Malaysia yang berjiwa murni akan dapat menanamkan semangat patriotisma dan sanggup mempertahankan kedaulatan negara agar sentiasa makmur serta harmoni dengan erti kata yang sebenarnya,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!