Cemburu punca pensyarah dibunuh
[DIKEMASKINI] FAIL JENAYAH membawa pembaca mengimbas kembali kes jenayah berprofil tinggi yang mendapat perhatian dan liputan meluas media.
Minggu ini Fail Jenayah membongkar kisah pembunuhan melibatkan seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu yang dibunuh dan mayatnya dibakar di Jalan SS19/6, Subang Jaya, 9.30 malam pada 12 Februari 2002.
Ikuti kisah pembunuhan dan prosiding kes bersama bekas Wartawan Jenayah Utusan Malaysia, Syahril A Kadir dan peguam Haniff Khatri Abdulla.
Siti Rahmah si teman wanita Sulkarnain
Pegawai di sebuah syarikat kejuruteraan di Petaling Jaya, Sulkarnain Alias yang juga teman lelaki bekas penuntut UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam pernah menghalang wanita itu bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan (GRO) di sebuah kelab.
Namun kerana Siti Rahmah berkeras hendak bekerja sendiri demi menyambung pelajarannya selepas gagal dalam jurusan Sains Sukan sebanyak tiga kali, wanita itu tekad bekerja sebagai GRO bagi mendapatkan wang demi meneruskan semula pengajiannya itu.
Sehinggalah kira-kira jam 3 pagi pada awal Februari 2002, Siti Rahmah mengadu ada bertemu dengan seorang pensyarah yang dikenalinya di UiTM di tempatnya bekerja iaitu di sebuah kelab di Taipan USJ.
Siti Rahmah memberitahu pensyarahnya itu cuba melakukan perkara tidak baik kepadanya dan itu adalah insiden pertama sepanjang dia bekerja di kelab malam terbabit.
Sulkarnain berang apabila Siti Rahmah mengadu pensyarah itu memintanya bermalam dengannya di sebuah kondominium sebagai ganjaran untuk membantunya dalam rayuan supaya diterima kembali ke kolej.
Siti Rahmah menyuruh teman lelakinya itu membelasah Bakarudin, namun Sulkarnain enggan memukul pensyarah itu dan berniat mahu bertemu dan berbincang secara baik dalam pertemuan yang diatur Siti Rahmah pada 12 Februari 2002 kira-kira jam 8 malam.
Dalam pertemuan tersebut, turut bersama adalah beberapa orang yang juga rakan Sulkarnain iaitu Noorman Ab Wahab, Azizul Azual Mohamad Jailani dan Muhammad Zakwan Ahmad Zaki.
Pertemuan berakhir dengan pertengkaran dan pergelutan antara Sulkarnain dan pensyarah itu di kawasan berkenaan.
Sehinggalah Sulkarnain meninggalkan kawasan berkenaan dan menurutnya hanya tiga orang yang berada di kawasan pensyarah itu berada termasuk Muhammad Zakwan, Azizul Azual dan Noorman.
Namun Sulkarnain dalam keterangannya sebelum ini dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung di mahkamah lebih lima tahun itu, tidak mengaku terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah terbabit.
Bakarudin rakan sekerja bekas wartawan jenayah
Mengimbas kembali pengalaman, bekas wartawan Utusan Malaysia, Syahril A Kadir tidak tahu Allahyarham Bakarudin Busu pernah menjadi rakan setugas.
Syahril sebelum ini tidak pernah mengenali siapakah Bakarudin sehinggalah diberitahu bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan bahawa mangsa ialah bekas rakan seperjuangan di Meja Sukan.
Menurut Syahril, kes terbabit terjadi sewaktu cuti umum perayaan Tahun Baru Cina. Masih segar diingatannya ketika sampai di tempat kejadian pada 12 Februari 2002, dia dan jurugambar senior, Husin Ibrahim terjun ke longkang besar di jalan itu untuk melihat dengan lebih dekat mayat mangsa.
“Ketika sampai di kawasan longkang besar di kawasan itu keadaan kering kontang,” katanya.
Pertama kali melihat keadaan mayat berkenaan yang terbakar, dia beranggapan ia mayat warga asing.
“Amat menyedihkan bila melihat keadaan mayat. Sudahlah ditetak, mangsa juga dibakar oleh pembunuhnya!” katanya.
Memang agak meruntun jiwanya, sehinggalah dia akhirnya mengetahui bahawa mayat itu adalah mayat warga tempatan yang juga seorang pensyarah UiTM jurusan Sains Sukan.
Apa yang lebih menyayat hati, Syahril berkata, ia adalah pengalaman pertama kali dalam sejarahnya sebagai wartawan jenayah yang si mangsa adalah bekas rakan sepejabat sendiri!
Mayat Bakarudin disahkan berdasarkan keputusan bedah siasat oleh isteri mangsa sendiri.
Prosiding
Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh ketiga, Azizul Azual Mohamad Jailani menceritakan kisah mengenai anak guamnya itu.
Haniff berkata, Azizul Azual berada di lokasi salah pada waktu yang salah.
Menurutnya, pemuda itu mungkin menjadi mangsa keadaan atas masalah orang lain.
“Azizul mengaku mengenali tertuduh pertama iaitu Sulkarnain Alias melalui abangnya, Yusman Jailani malah senjata yang digunakan iaitu pedang yang digunakan sebagai hiasan adalah milik abangnya,” katanya.
Haniff berkata, jika tidak terlibat dengan kes terbabit, pemuda itu mempunyai masa depan yang cerah kerana dia sepatutnya menunggu keputusan kemasukan ke universiti swasta dalam jurusan kejuruteraan elektronik, malah dia sanggup melakukan kerja sambilan demi mencapai cita-citanya ke universiti.
Pada hari kejadian iaitu 12 Februari 2002, dia mempunyai rancangan lain iaitu keluar bersama rakan wanitanya yang dikenali sebagai Dina Marshida.
Namun patuh dengan permintaan abangnya, tertuduh ketiga itu pergi berjumpa dengan tertuduh pertama untuk menyerahkan pedang hiasan di sebuah kedai serbaneka berdekatan lokasi kejadian.
“Setelah menunggu, pemuda terbabit mendakwa tertuduh pertama, Sulkarnain tiba dengan menaiki kereta Proton Satria bersama dua yang lain iaitu Noorman dan bekas penuntut UiTM, Siti Rahmah Azman Subramaniam yang berusia 35 tahun,” katanya.
Ketika bertemu dengan mangsa pula, Azizul Azual mengaku menendang perut mangsa setelah melihat Noorman mengacukan pedang ke perut.
“Katanya, dia memilih untuk menendang mangsa bukannya Noorman kerana takut dengan keadaan fizikal Noorman yang berbadan besar.
“Dia dakwa, takut untuk menegur tindakan Sulkarnain dan Noorman kerana tidak mengenali mereka secara dekat,” katanya.
Dalam kenyataan anak guamnya itu, Haniff berkata, Azizul Azual mengaku terkejut dan cemas ketika keadaan bertukar menjadi huru-hara.
“Pemuda itu dakwa melarikan diri kerana takut, terkejut dan panik setelah melihat Noorman menikam mangsa,” katanya.
Haniff menambah, mungkin kerana takut, Azizul Azual bukan sahaja tidak melaporkan kejadian itu kepada polis malah menyembunyikan senjata berkenaan di sebuah tangki tandas.
“Hanya selepas ditahan polis, lima hari selepas kejadian, barulah dia mengambil semula senjata itu setelah diminta oleh pihak polis,” katanya.
Hukuman mati
Pada 23 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap tiga lelaki iaitu Sulkarnain Alias, Noorman Ab Wahab dan Azizul Azual Mohamad Jailani termasuk seorang bekas pelajar Institut Bina Negara (IKBN) Muhamad Zakwan Ahmad Zaki bagi kesalahan membunuh Bakarudin.
Pada mulanya, empat orang menghadapi pertuduhan membunuh tetapi Mahkamah Tinggi pada 2007, membebaskan tertuduh keempat iaitu Muhamad Zakwan, 29, tanpa memanggilnya membela diri.
Bekas teman wanita Sulkarnain, Siti Rahmah juga menghadapi pertuduhan membunuh Bakarudin tetapi dibebaskan tanpa dilepaskan daripada tuduhan itu pada 2003 selepas pihak pendakwa menawarkannya menjadi saksi.
Dalam kes berkenaan seramai lima panel hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop sebulat suara menolak rayuan akhir Sulkarnain, Noorman dan Azizul Azual.
Dalam keputusannya, Hakim Ahmad berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul apabila mendapati ketiga-tiga mereka bersalah atas tuduhan membunuh Bakarudin.
Hakim Ahmad berkata, Mahkamah Rayuan telahpun mempertimbangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh perayu dan bersetuju dengan keputusan yang dicapai oleh Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, hujah-hujah yang dibangkitkan para peguam yang mewakili ketiga-tiga perayu di Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai merit.
Sulkarnain, 37, Noorman, 36, dan Azizul, 31, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas tuduhan membunuh Bakarudin, 35, di Jalan SS19/6, Subang Jaya jam 9.30 malam pada 12 Februari 2002.
Azizul Azual berusia 18 tahun ketika insiden itu berlaku.
Mayat Bakarudin yang separuh rentung dijumpai dalam longkang di Subang Jaya dan Bukti yang diperoleh menunjukkan bahawa Bakarudin ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!