PDRM umum 10 pertukaran pegawai kanan
KUALA LUMPUR - Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Ramli Mohamed Yoosuf antara 10 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 6 April ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia KPN, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan berkata, Ramli bakal memegang jawatan sebagai Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
Pertukaran lain melibatkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner Datuk Abd Razak Elias yang dilantik menjadi Deputi Komisioner Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Bukit Aman.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Khalil Azlan Chik pula bakal memegang jawatan Senior Asisten Komisioner Modenisasi Pengurusan Organisasi Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.
Khalil menggantikan Senior Asisten Komisioner R Munusamy yang akan memegang jawatan Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan di Maktab PDRM, Kuala Lumpur.
Pertukaran itu turut menyaksikan Ketua Penolong Pengarah E5, Cawangan Khas, Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Yusni Mohd Jamil dilantik sebagai Juruiring Polis kepada Perdana Menteri. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!