Dua kerabat diraja Arab Saudi ditahan kerana mengkhianat
MOSCOW - Dua kerabat terdekat keluarga diraja Arab Saudi ditahan kerana disyaki mengkhianat, lapor agensi berita Sputnik memetik laporan The Wall Street Journal.
Menurut jurnal itu, mereka adalah adik kepada Raja Salman, Putera Ahmed bin Abdulaziz al Saud dan anak saudara raja yang juga bekas Putera Mahkota, Mohammed bin Nayef bin Abdulaziz al Saud ditahan pada Jumaat oleh pengawal istana diraja.
Pengawal terbabit turut menahan salah seorang adik Mohammed bin Nayef bin Abdulaziz al Saud.
Kedua-dua kerabat yang ditahan itu sebelum ini pernah menduduki senarai pewaris takhta. Butiran penahanan itu masih belum diperoleh.
Mohammed bin Nayef bin Abdulaziz al Saud menjawat kerusi putera mahkota antara tahun 2015-2017, sebelum digantikan Raja Salman pada 2017 dengan menamakan Mohammad Salman Abdulaziz al Saud sebagai putera mahkota baharu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!