Covid-19: Kerajaan baharu tandus pemimpin berkredibiliti

Status Annuar di Twitter kelmarin mencadangkan Dzulkefly terus bersama pasukan pengurusan kawalan Covid-19 membantu menangani penularan virus itu. (Gambar kanan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji)
Status Annuar di Twitter kelmarin mencadangkan Dzulkefly terus bersama pasukan pengurusan kawalan Covid-19 membantu menangani penularan virus itu. (Gambar kanan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji)
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membidas kerajaan baharu Perikatan Nasional yang dilihat seolah-olah ketandusan pemimpin berkredibiliti dalam menangani gelombang kedua penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Beliau berkata demikian susulan status Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa di Twitter kelmarin yang mencadangkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad diberi peluang untuk bersama-sama pasukan pengurusan kawalan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, menurutnya, meskipun Annuar mungkin berniat baik tetapi cadangan itu membuatkan rakyat tertanya-tanya, adakah kerajaan yang ditubuhkan tanpa mandat rakyat ini sudah ketandusan pemimpin yang berkredibiliti seperti Dzulkefly?

"Jika jawapannya ya, mengapa Annuar dan rakan-rakannya sanggup menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu terutamanya ketika Kementerian Kesihatan (KKM) yang diterajui Dr Dzulkefly (Ahmad) bersama-sama penjawat awam barisan hadapan negara sedang bertungkus-lumus berusaha menangani wabak Covid-19?

"Seperti semua sedia maklum, Dzulkefly menunjukkan prestasi yang cemerlang ketika menerajui KKM di bawah kerajaan PH, malah beliau dihujani dengan begitu banyak pujian serta ucapan tahniah daripada pelbagai pihak di dalam negara mahupun antarabangsa atas kejayaannya menangani wabak Covid-19 di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menerusi Twitter memberitahu tidak salah sekiranya Dzulkefly sebagai seorang wakil rakyat diberi peluang untuk terus bersama pasukan pengurusan kawalan Covid-19 kerana kepentingan awam perlu didahulukan dari kepentingan kelompok politik.

Status sama juga menyebut, Annuar secara peribadi mencadangkan Dzulkefly terus bersama membantu menangani penularan virus itu.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri Shah yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, sehingga hari ini kerajaan yang tidak menerima mandat rakyat ini masih belum mengumumkan barisan Kabinet dan bermakna jawatan Menteri Kesihatan kekal kosong tidak diisi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau bimbang jika hal itu tidak disegerakan (wujudkan Kabinet), ia akan mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat memandangkan jumlah kes individu dijangkiti Covid-19 semakin meningkat sejak kerajaan PH ditumbangkan.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku individu yang paling bertanggungjawab dalam hal ini perlu bersikap sewajarnya dengan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan krisis wabak dihadapi negara ketika ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!