Kejohanan Badminton Para Sepanyol 2020 dibatalkan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEJOHANAN Antarabangsa Badminton Para Sepanyol 2020 yang dijadualkan berlangsung di Cartagena, Murcia bermula pada 10 Mac ini dibatalkan susulan peningkatan kebimbangan terhadap wabak koronavirus (Covid-19).

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Persekutuan Badminton Sepanyol (SBF) membuat keputusan itu semalam selepas menerima nasihat pihak berkuasa kesihatan Majlis Perbandaran Murcia.

BWF berkata, ia perlu menghormati keputusan SBF kerana kebajikan pemain, rombongan mereka, penyokong dan pegawai di kejohanan itu merupakan kepentingan utama.

Badan pentadbir badminton dunia itu menegaskan ia tidak merancang untuk melakukan sebarang pelarasan ke atas tempoh kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berakhir pada 2 April depan.

Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol adalah pertandingan kelayakan terakhir untuk pemain badminton para mengumpul mata ke Sukan Paralimpik Tokyo.

Sebelum ini, empat acara kelayakan bukan Olimpik juga dibatalkan atau ditangguh berikutan kebimbangan terhadap Covid-19.

Acara terbabit ialah Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai Ketiga dijadualkan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu dari 2 hingga 7 April; Siri Antarabangsa Remaja Thailand 2020 di Bangkok dari 21 hingga 26 April; Siri Antarabangsa Remaja Mongolia di Ulaanbaatar dari 19 hingga 24 Mei dan Cabaran Antarabangsa Mongolia di Ulaanbaatar dari 26 hingga 31 Mei. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!