66 pengunjung pusat hiburan ditahan kes dadah
SHAH ALAM - Polis menahan 66 pengunjung pusat hiburan dipercayai terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di lima pusat hiburan tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, seramai 265 individu diperiksa dalam Ops Hiburan di Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak dan Serdang, Selangor pada jam 12 tengah malam itu.
"Kita menahan 65 warga asing dan seorang warga tempatan. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga biji pil eramin 5 dan serbuk ekstasi dianggar seberat 5.74 gram bernilai RM332.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Sundralingam memberitahu, Ops Hiburan akan dilakukan secara berterusan melalui risikan dan operasi supaya pengunjung premis hiburan tidak menyalahgunakan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!