Tokan dadah kena cekup
KEPALA BATAS - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis bersama lima peket dadah jenis ketamin di Jalan Permatang Kerai di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka ditahan oleh anggota kereta peronda yang sedang melakukan pemeriksaan Ops Tapis kira-kira jam 9.50 malam.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan di tepi jalan dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ketamin seberat 130 gram.
"Hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas untuk dijual di kawasan di sekitar kawasan Perai dan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM19,500.
"Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka yang berusia di antara 22 hingga 26 tahun bebas daripada pengaruh dadah dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Sementara itu dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Jalan Permatang Binjai, Penaga, polis menahan lima individu termasuk dua perempuan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 430 gram dadah jenis heroin, 6.5 gram syabu dan 6 gram ganja.
"Siasatan mendapati dadah yang dirampas untuk dijual di sekitar kawasan Teluk Air Tawar dan Kepala Batas selain ia disimpan untuk kegunaan sendiri.
"Nilai Keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan bernilai RM22,595 dan kesemua berusia di antara 24 hingga 50 tahun juga positif dadah," katanya.
Noorzainy berkata, kesemua suspek direman tujuh hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar dadah yang berada di daerah ini.
Katanya, polis mengharapkan kerjasama daripada masyarakat untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!