Pemuda Pas harap kejutan ekonomi akibat Covid-19 dapat ditangani

Syahir -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syahir -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas berharap pelaksanaan serentak pakej rangsangan fiskal yang dilakukan kerajaan dan dasar sokongan monetari oleh Bank Negara berupaya menyerap sekali gus menangani ketidaktentuan serta kejutan ekonomi akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Pengarah Strateginya, Syahir Sulaiman berkata, ia sekali gus akan menyokong permintaan isi rumah, pengeluaran domestik dan peluang pekerjaan supaya ekonomi negara terus berdaya tahan serta berdaya saing dalam tempoh mencabar ketika penularan wabak itu sekarang dan selepas pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Bank Negara telah membuat keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada 3 Mac lalu.

Syahir berkata, berdasarkan kenyataan Bank Negara, pengurangan OPR itu untuk menyediakan persekitaran monetari lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil dan akan terus memantau serta menilai imbangan risiko berhubung prospek pertumbuhan domestik serta inflasi.

“Bank Negara turut mengakui bahawa keseluruhan ekonomi global telah merosot dalam tempoh kebelakangan ini, akibat penularan Covid-19 yang telah mengganggu aktiviti pengeluaran dan aktiviti berkaitan perjalanan terutamanya di rantau ini.

“Pertumbuhan ekonomi pada 2020, khususnya pada suku pertama, dijangka terjejas oleh wabak Covid-19 dalam sektor berkaitan pelancongan, perkilangan dan perkhidmatan. Kelemahan dalam sektor pertanian dan komoditi juga dijangka berterusan pada suku pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, selain dasar sokongan monetari di pihak Bank Negara, Kerajaan Persekutuan turut mengemukakan dasar sokongan fiskal untuk memangkinkan pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini.

Tambahnya, pada 27 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM20 bilion bagi mengurangkan kesan kelemahan ekonomi akibat wabak Covid-19 dengan pendekatan tiga arah.

Artikel Berkaitan:

Pertama, untuk memudahkan aliran tunai perniagaan yang terjejas, kedua untuk membantu individu terjejas dan ketiga, untuk merangsang permintaan bagi perjalanan serta pelancongan.

Jelasnya, secara umumnya pakej rangsangan tersebut disambut baik oleh pihak industri, perbankan dan rakyat yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19, namun kesannya dijangka dapat dilihat secara beransur-ansur pada separuh kedua 2020, khususnya dalam sektor pelancongan, pengilangan dan eksport-import negara.

“Menurut Dr Mahathir beberapa langkah segera akan diambil mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara dan dalam kenyataan bertarikh 3 Mac lalu, kerajaan akan memberikan penekanan terhadap pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

“Di samping itu, kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan juga diberi perhatian dan setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan serta hutang Kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menyokong pandangan Dr Mahathir bahawa peruntukan belanjawan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi rakyat dan negara,selain keberkesanan program perlu dipertingkatkan supaya setiap wang yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!