MPKK Terengganu berfungsi seperti biasa, kata Exco

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Fungsi dan peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Terengganu akan diteruskan walaupun berlaku perubahan pentadbiran di peringkat Persekutuan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, MPKK di Terengganu masih berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri sehingga satu keputusan baharu dibuat.

"Kerajaan negeri telah mengambil alih sepenuhnya apabila Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) di Terengganu sebelum ini dan menghentikan kerjasama serta menamatkan bayaran elaun kepada MPKK lantikan negeri.

"Ia termasuk mengambil alih pengurusan dan bayaran elaun bagi kesemua 1,046 MPKK seluruh Terengganu untuk menjamin fungsi dan peranannya," katanya dalam satu kenyataan.

Melalui surat bertarikh 4 Mac lalu, Ketua Setiausaha Kementerian telah memaklumkan penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK dan MPKKP.

Penangguhan sementara itu melibatkan semua urusan termasuk pelantikan, pertukaran dan pembayaran elaun sehingga mendapat dasar dan hala tuju MPKK dan MPKKP yang baharu daripada menteri.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!