Tumpu pelancong domestik rancakkan TMM 2020

Noor Zari menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti di Kampung Pulau Gajah.
Noor Zari menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti di Kampung Pulau Gajah.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) kini memberi fokus kepada usaha menarik pelancong domestik bagi merancakkan lagi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, pada tahun lalu kerajaan mencatat perolehan sebanyak RM80 bilion melibatkan pelancong domestik dalam negara.

Menurutnya, pelancongan adalah antara sektor yang terkesan akibat penularan koronavirus (Covid-19) di mana ribuan pelancong khususnya dari China telah membatalkan lawatan ke negara ini.

"Industri pelancongan mencatat kerugian melebihi RM3 bilion dalam tempoh Januari dan Februari tahun ini.

"Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri pelancongan negara, Motac telah merangka pelbagai pendekatan holistik untuk membantu penggiat industri pelancongan yang terjejas," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Program Kemakmuran Seni Bersama Komuniti di Kampung Pulau Gajah di Sabak di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad.

Noor Zari berkata, pelbagai langkah dilakukan kementerian termasuklah mempertingkatkan promosi pemasaran untuk menarik kemasukan pelancong asing dari pasaran alternatif khususnya negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan juga pasaran Eropah Barat, Timur Tengah, India, Afrika Utara dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Tourism Malaysia telah mengaktifkan Crisis Communication Task Force yang berperanan sebagai ejen untuk menyebarkan maklumat sahih bagi meyakinkan pelancong bahawa Malaysia adalah destinasi pelancongan yang selamat untuk dikunjungi.

"Tourism Malaysia juga telah melancarkan Booklet Pakej MYexperience baru-baru ini yang bertujuan merancakkan lagi aktiviti promosi TMM 2020.

"Sebanyak 500 pakej pelancongan domestik yang memaparkan produk niche dimuatkan di dalam booklet ini untuk menarik pelancong tempatan melancong di dalam negara," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!