Ahmad Zahid tak mahu jawatan Kabinet
BAGAN DATUK - [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan agar tidak dilantik ke dalam Kabinet yang akan dibentuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun sudah mengemukakan cadangan senarai nama daripada parti itu untuk menganggotai kabinet kepada Muhyiddin.
Katanya, senarai yang dicadangkan itu berdasarkan peratusan sumbangan-sumbangan UMNO dalam pembentukan kerajaan baharu.
"Keutamaan nama-nama ini berdasarkan hierarki utama jawatan dalam UMNO dan BN. Selain itu, muka-muka baharu, tokoh muda, profesional, teknokrat turut dicadangkan.
"Tokoh-tokoh dari BN juga telah dikemukakan kepada Perdana Menteri. UMNO memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Perdana Menteri untuk membuat lantikan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Cawangan Empat Peringkat Dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2020 di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Setiausaha UMNO Perak, Datuk Azian Osman, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan beberapa pimpinan UMNO Bahagian di Perak.
Ahmad Zahid dalam sidang media selepas itu menjelaskan, keputusan untuk tidak menyertai Kabinet Muhyiddin adalah muktamad setelah mengambil kira pelbagai faktor.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, hasrat tersebut tidak dimaklumkan secara rasmi kepada Muhyiddin sebaliknya hanya diumumkan ketika majlis pada hari ini.
Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk mewujudkan sebuah kerajaan dengan memilih individu yang benar-benar bersih, berintegriti dan amanah bagi menganggotai Kabinet.
Beliau berkata, dalam masa sama, mereka yang menghadapi pertuduhan di mahkamah perlu diberi peluang untuk membersihkan diri melalui proses perundangan di mahkamah.
"Pembersihan diri hendaklah dibuat dengan tidak menggugurkan kes-kes mahkamah melalui keputusan Peguam Negara sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Pertuduhan-pertuduhan mahkamah secara terpilih dan bermotif politik sebelum ini dibuat oleh pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan. Jika Peguam Negara terdahulu benar-benar telus, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telus, kenapa mereka perlu takut hingga meletakkan jawatan?" katanya.
Ahmad Zahid berkata, siasatan dan semua pertuduhan dibuat untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti pemimpin UMNO dengan mengharapkan parti itu akan hancur.
Jelasnya, tuduhan ke atas pemimpin UMNO dilakukan untuk mengaibkan mereka dengan tujuan menghilangkan kepercayaan ahli dan rakyat terdapat UMNO.
Beliau berkata, tindak itu juga bertujuan memecah-belahkan UMNO dari dalam dan luar parti selain mengharapkan UMNO dan BN runtuh
"BN cuba dipecahperintahkan, namun BN terus kukuh bersama Muafakat Nasional dan ia terbukti dengan kemenangan bergaya di dalam lima Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Kimanis.
"Akibat sebaliknya PH sendiri yang runtuh. Doa orang yang dizalimi tiada hijab. ALLAH SWT mendengar doa dan menjawab doa mereka. Kini kurang sepenggal PH runtuh," katanya.
Sebelum ini timbul desas-desus mengatakan Pengerusi BN itu berkemungkinan akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di dalam kerajaan yang baharu dibentuk.
Ahmad Zahid bagaimanapun semalam menafikan bahawa UMNO mahukan jawatan Timbalan Perdana Menteri di dalam Kabinet yang akan dibentuk Muhyiddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!