Ceramah PMR 2020 di Parlimen Batu kecoh

Paparan video yang tersebar menyaksikan Rozan ditenangkan oleh pihak penganjur program berkenaan.
Paparan video yang tersebar menyaksikan Rozan ditenangkan oleh pihak penganjur program berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ceramah Pertahan Mandat Rakyat 2020 (PMR 2020) anjuran Parlimen Batu semalam kecoh selepas berlaku protes terhadap Ahli Parlimen P Prabakaran

Kejadian berlaku apabila Naib Ketua PKR Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip menjerit ketika Prabakaran sedang menyampaikan ucapannya.

Menerusi video yang tersebar itu, Rozan turut dilihat ditarik ke bahagian tepi ruang ceramah berkenaan dan ditenangkan oleh penganjur majlis tersebut.

Bagaimanapun Rozan ketika dihubungi berkata, beliau bertindak sedemikian sebagai tanda protes terhadap ucapan Prabakaran yang dilihat cuba mengaitkan Naib Presiden PKR, Tian Chua dengan Langkah Sheraton.

"Saya hadir ke program berkenaan bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) dan ahli PKR Cabang Batu. Kami dapati ucapan disampaikan Prabakaran itu memburukkan kredibiliti Tian Chua.

"Beliau cuba mengaitkan Tian Chua dengan Langkah Sheraton yang pada saya maklumat itu adalah tidak benar dan ditokok tambah. Disebabkan itulah saya bangun membantah dan protes," katanya.

Rozan turut mendakwa, Prabakaran merupakan individu yang mengkhianati PKR dan Tian Chua menerusi beberapa tindakannya sebelum ini.

Ujar Rozan, antara pengkhianatan yang dilakukan Prabakaran ialah melantik ahli majlis dalam kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) terdiri dari Parti Progresif Penduduk (PPP), UMNO dan MIC.

Artikel Berkaitan:

"Ini yang kami marah. Jika dia dakwa Tian Chua pengkhianat, dia juga pengkhianat kerana melakukan beberapa tindakan tidak wajar sebelum ini," katanya.

Tambah Rozan, selepas insiden kekecohan itu, beliau kemudiannya meninggalkan majlis untuk menggelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam pada itu, Sinar Harian masih sedang mendapatkan maklum balas daripada Prabakaran berhubung perkara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!