Penurunan harga minyak beri kesan 'X factor' kepada kerajaan
KUALA TERENGGANU - Penurunan harga minyak yang agak besar akan menjadi 'X Factor' kepada pentadbiran baharu untuk menerima sokongan rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kali terakhir rakyat negara ini menikmati harga serendah itu pada 29 Jun 2017.
"Langkah ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu rakyat memandangkan harga minyak dunia yang telah merosot di bawah paras ASD50 setong pada bulan ini.
"Ini menunjukkan komitmen kerajaan baharu menurunkan kos sara hidup serta memastikan rakyat mendapat manfaat daripada lebihan wang kesan penurunan harga bahan api," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian Kewangan semalam mengumumkan pengurangan harga RON95 sebanyak 19 sen kepada RM1.89/liter, RON97 sebanyak 21 sen kepada RM2.21/liter dan diesel sebanyak 17 sen kepada RM1.96 seliter berkuatkuasa hari ini.
Jelas Ahmad Amzad, lebihan tunai yang akan dipulangkan ke dalam pasaran tempatan ini akan membolehkan sektor perniagaan yang menerima kesan negatif koronavirus (Covid-19) menerima manfaat besar dan memulih pada kadar yang lebih cepat.
"Sudah tentu masih banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan seperti penilaian dan pelaksanaan pakej stimulus, insentif korporat dan semakan projek infrastruktur rakyat.
"Ini adalah satu permulaan yang baik untuk sebuah kerajaan baharu dalam tempoh kurang seminggu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!