Pilihan raya negeri untuk pilih pucuk pimpinan
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mencadangkan supaya semua kerajaan negeri mengadakan pilihan raya peringkat kampung termasuk masyarakat Orang Asli bagi memilih barisan pucuk pimpinan masing-masing.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 melalui satu kenyataan berkata, kaedah itu penting bagi membolehkan pemilihan dilakukan secara undian, bukannya melalui lantikan politik.
Menurut kenyataan itu lagi, ugutan yang dilakukan seorang senator daripada PH ke atas tok batin dilihat boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat Orang Asli.
"Bersih 2.0 juga menegaskan bahawa kerajaan PH tidak harus mengulangi taktik menjijikkan untuk mewujudkan pimpinan kampung melalui lantikan (kerajaan) persekutuan di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.
"Menafikan hak orang kampung memilih ketua dan pemimpin mereka pada pokoknya adalah satu bentuk korupsi pilihanraya.
"Dimana wakil-wakil parti pemerintah dilantik untuk memonopolikan kecapaian kepada sumber kerajaan dan menyemai imbuhan,"katanya.
Justeru katanya, pemilihan barisan pucuk pimpinan melalui proses pengundian sebegitu dilihat dapat menghapuskan budaya pilih bulu.
"Selain itu, langkah tersebut juga dapat memastikan pemimpin yang dilantik itu disukai rakyat dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik,"katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ugut tak bayar gaji tok batin, Senator PKR dibidas kawan, lawan]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!