Laungan azan buka hati untuk peluk Islam

Asmuddin (kiri) bersiap sedia untuk melafazkan dua kalimah syahadah dalam majlis berkenaan.
Asmuddin (kiri) bersiap sedia untuk melafazkan dua kalimah syahadah dalam majlis berkenaan.
A
A
A

KLANG - Hati saya mula terbuka untuk mendekati Islam apabila mendengar laungan azan di sebuah surau, itulah pengakuan seorang remaja orang asli, Asmuddin Omar, 23, ketika menceritakan kembali pengalamannya mendekati agama Islam sebelum ini.

Asmuddin merupakan salah seorang antara 20 orang peserta yang mengikuti Majlis Pengislaman Beramai-ramai Orang Asli Daerah Klang yang berlangsung di Perkampungan Orang Asli Pulau Indah hari ini.

Menurut Asmuddin, sejak kejadian itu, dia mula tergerak hati untuk mendalami Islam dengan lebih dekat dan turut meluangkan masa mendengar alunan ayat suci al-Quran.

"Saya ambil masa selama sebulan untuk membuat keputusan. Dan akhirnya ALLAH telah gerakan hati saya untuk memeluk Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, majlis yang julung kali diadakan di daerah Klang ini melibatkan 20 peserta dari tiga buah kawasan iaitu Kampung Orang Asli Pulau Indah, Kampung Orang Asli Bagan Hailam dan Kampung Orang Asli Sungai 2.

Dalam pada itu, anak kedua daripada lima beradik ini turut berkata, ahli keluarganya yang lain tidak turut sama memeluk Islam dan tindakannya itu juga tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Saya ikhlas peluk Islam kerana agama ini amat tenang dan sentiasa buat hati saya gembira terutamanya apabila mendengar alunan ayat al-Quran," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk orang asli, Rupiah Johari, 40, berkata, dia bersama anaknya, Siti Anisah Kamal, 18, memilih untuk memeluk Islam bagi melakukan perubahan dalam kehidupan mereka selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Rupiah berkata, dia mengambil masa hampir tiga tahun untuk mendalami agama Islam dan selepas itu hatinya mula tergerak untuk terus bersama ALLAH.

"Saya dan suami sudah bercerai. Selepas berpisah, kami ingin melakukan perubahan dalam kehidupan dan kami dapati Islam merupakan agama yang amat memberi ketenangan kepada pengikutnya," katanya.

Katanya, dia dan anaknya akan mendekati Islam dengan lebih mendalam selepas ini bagi memberi kefahaman lebih lanjut mengenai kelebihan agama ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!