Covid-19: Pegawai, anak kapal TLDM KD Lekiu akan disaring kali kedua
IPOH - Semua 179 pegawai dan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekiu akan menjalani saringan kedua sebaik tiba di Tambatan Pangkalan Lumut (TPL), 10 Mac ini.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, ia sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengesahkan semua warga kapal berkenaan bebas daripada koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, saringan pertama dilakukan pada 5 Mac lalu telah mengesahkan kesemua mereka yang dalam pelayaran mengiringi PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Busan, Korea ke Perairan Sabah, negatif Covid-19.
"Pada 12 hingga 18 Februari lepas, kapal ini telah berlabuh di Busan, Korea dan ada penumpang kapal yang masuk ke bandar Busan.
"Mengikut jadual mereka akan tiba di Lumut pada 10 Mac ini dan atas faktor itu kita adakan saringan kedua yang mana pemeriksaan akan dikendalikan Jabatan Kesihatan Perak.
"Kesemua mereka akan dikuarantin di atas kapal sehinggalah keputusan saringan kedua ini diperoleh. Kita harap dengan saringan ini tidak akan ada kes baharu berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Live Surgery Course 2020 di sini, hari ini.
TLDM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, tiada warga kapal yang dikesan mengalami gejala Covid-19, perkara itu disahkan menerusi saringan pertama pada 5 Mac lalu.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, Perak setakat ini mencatatkan 114 kes yang disyaki dijangkiti Covid-19, namun kesemuanya disahkan negatif selepas saringan dilakukan.
Katanya, saringan kepada pelancong di pintu keluar masuk antarabangsa Pengkalan Hulu dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh juga berjalan lancar tanpa sebarang kes mencurigakan.
"Setakat ini Perak tiada kes, sekiranya ada tular mengatakan wujud kes di negeri ini, itu sama sekali tidak benar," katanya merujuk kepada satu kes tular di media sosial, hari ini kononnya terdapat dua lelaki dari Teluk Intan yang telah dijangkiti Covid-19.
Mengulas saringan kesihatan di sekolah-sekolah antarabangsa di Perak, beliau berkata, kebiasaannya ia dilakukan sekiranya ada laporan terdapat warga sekolah yang kembali dari luar negara terutama negara yang berisiko tinggi.
"Oleh kerana sekolah sebegini ramai warga luar negara, jadi timbul kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kerana ia turut melibatkan kontak-kontak rapat.
"Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan kes membabitkan sekolah antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!