Liverpool kembali ke landasan kemenangan
PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool akhirnya memadam igauan kekalahan 0-3 kepada kelab bawahan Watford sebelum ini apabila bangkit menewaskan Bournemouth 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield.
Dua gol daripada Mohamed Salah pada minit ke-25 dan Sadio Mane (33) sudah cukup memadamkan gol pendahuluan minit kesembilan Callum Wilson sekali gus memberi semangat baharu kepada skuad kendalian Jurgen Klopp berkenaan.
Tiga mata itu membolehkan The Reds kembali memperkukuhkan cengkaman liga dengan 82 mata selepas mengharungi 29 perlawanan hasil 27 kemenangan, satu seri dan satu kekalahan sekali gus melebarkan jurang mata dengan penyandang juara Manchester City.
Kemenangan berkenaan juga secara tidak langsung menjadi tonik semangat kepada para pemain The Reds yang akan melayan kunjungan Atlético Madrid pada aksi timbal balik kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.
Untuk rekod pada aksi pertama di Wanda Metropolitano Madrid sebelum ini, Liverpool tewas 0-1 kepada kelab kendalian Diego Simeone berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!