Mulianya hati guru wanita ini
KUANTAN - Kemuliaan hati seorang guru wanita untuk membantu seorang anak murid yang didakwa tiada tempat bergantung selepas ibu bapanya tidak dapat dikesan berapa bulan lalu wajar dijadikan teladan oleh masyarakat kita.
Guru Penyelaras Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh (SKBG), Rokiah Harun berkata, selepas menerima maklumat mengenai murid itu yang didakwa terpaksa menumpang di rumah seorang rakan, dia membuka pintu rumahnya untuk menjadi tempat teduhan Muhammad Aidil Fitri Abdullah, 10, dari di Bukit Goh,di sini.
"Bila dia (Muhammad Aidil Fitri) cakap tinggal di rumah kawannya, saya pun siasat. Tuan rumah saya panggil Linda itu begitu baik hati kerana menjaga Muhammad Aidil Fitri.
"Tetapi adalah lebih baik kalau saya yang menjaganya. Lagipun rumah saya masih ada dua bilik kosong dan suami pun kata supaya saya terus menjaganya sahaja.
"Saya tidak sangka suami baik hati bercakap begitu dan saya terus ambil pakaian Muhammad Aidil Fitri di rumah Linda serta memaklumkan saya akan menjaganya tetapi kalau ada kekangan, saya akan hantar ke sana dan kami berjanji untuk sama-sama menjaganya," kata guru itu.
Dalam pada itu Rokiah mendakwa, dia sudah beberapa kali cuba untuk bertemu dengan nenek Muhammad Aidil Fitri bagi memaklumkan cucunya itu kini dalam jagaannya tetapi gagal.
Menurutnya, sehingga kini, dia mendakwa masih belum menemui nenek Muhammad Aidil Fitri tetapi ada menerima panggilan daripada bapa saudara kanak-kanak itu yang berada di Pulau Pinang dengan memintanya menguruskan anak saudaranya itu.
"Saya ada maklumkan yang saya sedang menguruskan untuk menghantar Muhammad Aidil Fitri ke Permata Camar untuk dia tinggal di sana," katanya yang menerima kunjungan daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang yang diwakili Setiausahanya, Wan Mohd Hafizul Wan Ismail serta beberapa ahlinya, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Wan Mohd Hafizul menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan makanan kepada Rokiah bagi mewakili kanak-kanak tersebut.
Wan Mohd Hafizul berkata, GMPS akan membantu meringankan beban harian yang ditanggung oleh Rokiah bagi menguruskan Muhammad Aidil Fitri.
Katanya, pada peringkat awal, pihaknya akan cuba memenuhi hasrat Rokiah bagi mendapatkan tempat tinggal yang lebih baik untuk murid berkenaan.
"Kita akan cuba bantu Muhammad Aidil Fitri dari semasa ke semasa termasuk menanggung perbelanjaannya," kata Wan Mohd Hafizul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!