Kefanaan kuasa politik
HERE Today, Gone Tomorrow adalah judul memoir mantan menteri pertahanan United Kingdom, Sir John William Frederic Nott sewaktu negara itu berperang dengan Argentina pada Mac 1982.
Perdana Menteri ketika itu ialah Margaret Thatcher. Perang itu berlaku berikutan pencerobohan Argentina terhadap Pulau Falklands yang terletak di Lautan Atlantik Selatan. Bagi Inggeris, pulau tersebut merupakan tanah jajahannya tetapi bagi Argentina, pulau yang dipanggil Islas Malvinas adalah sebahagian wilayahnya yang telah dijadikan koloni Inggeris.
Apa yang ingin disentuh dalam tulisan ini bukanlah tentang Perang Falklands yang kita tahu telah memberi kemenangan kepada United Kingdom of Great Britain tetapi persoalan kefanaan kuasa politik yang telah diperkatakan oleh Nott dalam autobiografi yang telah diterbitkan pada tahun 2002.
Diterjemahkan ke bahasa Melayu judul yang sesuai untuk memoir Nott itu barangkali ialah Berkuasa Hari Ini, Lenyap Keesokannya. Dan Nott bukanlah pemimpin politik pertama yang mengingatkan tabii kesementaraan kuasa politik.
Hakikat bahawa kuasa politik bukanlah abadi telah lama ditegaskan oleh para saintis politik sejak zaman Yunani Purba.
Tersirat di balik pegangan itu adalah di negara-negara yang mengamalkan demokrasi, menjadi kelaziman untuk rakyatnya menyaksikan pemimpin politik datang dan pergi. Tidak ada apa yang hendak dibantah apabila keadaan itu terjadi.
Cuma kadang-kadang, para pemimpin politik setelah berada di tampuk kuasa terlupa akan hakikat tersebut.
Mereka selalu berfikiran setelah kuasa berada dalam genggaman, ia akan kekal berada dalam tangan untuk tempoh yang lama. Atau sekurang-kurang untuk tempoh lima tahun sehingga pilihan raya umum yang telah membolehkan mereka berkuasa berakhir.
Kemelut politik yang baru saja kita lalui berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selepas Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018 tentulah mengingatkan kita semua tentang ungkapan here today, gone tomorrow yang telah dizahirkan oleh John Nott dan para pemimpin lain sebelum dan selepas beliau.
Penarikan diri Bersatu daripada PH, diikuti oleh 11 orang ahli Parlimen PKR yang menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyebabkan kerajaan PH kehilangan kuasa. Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim sehinggalah pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mac 2020.
Semua anggota Kabinet Persekutuan dalam sekelip mata kehilangan jawatan serentak dengan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari 2020. Sebahagian besar menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik serta pelbagai jawatan politik lain yang mewakili DAP dan PKR, baru 22 bulan menyandang jawatan. Mereka sukar untuk mempercayainya bahawa kerusi empuk yang memberi mereka kuasa politik telah tiada.
Ada antara mereka menyatakan mereka belum puas berkhidmat atau lebih tepat lagi belum puas memegang kuasa politik yang mereka perkirakan akan dapat dikekalkan sehingga tibanya Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal diadakan pada tahun 2023.
Bukan tidak ada usaha dibuat untuk mendapatkan semula kuasa PH yang hilang dalam tempoh enam hari berlakunya kekosongan kuasa politik antara 24 hingga 29 Februari itu. Pada mulanya PH menyokong Dr Mahathir untuk kembali sebagai Perdana Menteri; kemudian PH mencalonkan pula Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diuar-uarkan bakal menjadi Perdana Menteri kelapan.
Apabila parti-parti pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pas bergabung tenaga dengan Bersatu dan kelompok Azmin mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, PH membuat pusingan U: Ia mencalonkan semula Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri kelapan. Pencalonan yang diberi kepada Anwar menjadi tidak relevan.
Hal itu terjadi kepada PH yang dianggotai oleh DAP, PKR dan Amanah kerana mereka tidak percaya Anwar berupaya menewaskan Muhyiddin yang didokong oleh UMNO, Pas, MCA, MIC, Gabungan Politik Sarawak (GPS) dan sebilangan parti-parti politik kecil lain di Dewan Rakyat.
Dr Mahathir, walaupun telah dikhianati oleh PH yang telah mencalonkan Anwar sebagai calon PM kelapan sehari sebelum itu tanpa berfikir panjang menerima pencalonan semula tersebut.
Kembali berkuasa
Secara tersurat, alasan Dr Mahathir adalah untuk menyekat UMNO kembali berkuasa kerana UMNO adalah sebuah parti politik yang korup.
Beliau tidak faham bagaimana Muhyiddin yang beliau anggap sebagai pengkhianat boleh bekerjasama dan mendakap sokongan UMNO.
Tetapi secara tersirat keputusan Dr Mahahtir itu sebenarnya ada kaitan dengan upaya untuk mengembalikan kuasa politik PH yang telah hilang dengan beliau sendiri sebagai Perdana Menteri kelapan.
Kepimpinan PH percaya hanya Dr Mahathir, bukan Anwar yang memang “gila-gila ingin menjadi Perdana Menteri”, mempunyai peluang terbaik untuk melanjutkan kuasa politik PH dan seterusnya mengembalikan jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha politik kepada anggota Kabinet PH yang kehilangan jawatan secara sekelip mata.
Jelas bahawa tindak-tanduk PH itu adalah penolakan terhadap hakikat kefanaan kuasa politik itu sendiri. Dan takdir tentunya.
PH semacam tidak menerima keputusan mengikut Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan. Mereka tidak sabar-sabar untuk Dewan Rakyat mengadakan persidangan bagi mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri baharu itu.
Benar demokrasi membenarkan usul tersebut dibentangkan tetapi janganlah berlebih-lebihan dalam berbuat demikian sehingga ternampak bahawa yang dipentingkan bukan perjuangan membela rakyat semasa menawarkan diri bertanding tetapi mendapatkan semula kuasa politik yang telah terlepas semata-mata.
Namun bukan semua pemimpin politik yang ada jawatan dalam kerajaan PH menolak hakikat kefanaan kuasa politik.
Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak, Dr Aziz Bari merupakan satu-satunya pemimpin politik yang secara terbuka menerima realiti kesementaraan sifat kuasa politik itu.
Sewaktu berhadapan dengan kemungkinan beliau akan kehilangan jawatan politik yang disandang, beliau dengan tenang menyatakan: “Saya tidak akan menangis jika berlaku perubahan kerajaan di Perak. Saya akan tersenyum. Ini kerana apabila saya diundi oleh rakyat dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, saya tahu ia bukanlah untuk selama-lamanya dan saya akan kehilangannya pada bila-bila masa.”
Tentunya dalam kita bergerak ke hadapan untuk mendewasakan demokrasi dan politik negara, semangat Dr Aziz itu wajar diterima pakai oleh ahli-ahli politik, tanpa mengira apa ideologi mereka!
Dengan itu, politik kita akan menjadi lebih tertib.
Tidak akan berlaku pengkhianatan; tidak akan terjadi pusingan U berkali-kali. Dan yang lebih penting, ahli-ahli Yang Berhormat tidak akan menjadi seperti katak melompat dari satu parti ke satu politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!