Kanser serviks jejas bayi dalam kandungan?
[DIKEMAS KINI] KANSER serviks adalah kanser keempat paling tinggi dihidapi oleh golongan wanita di Malaysia. Ia adalah sejenis kanser yang berkembang pada serviks wanita dan lazimnya tidak mempunyai gejala pada peringkat awal.
Selain langkah pencegahan, tahap kebersihan dan kesihatan organ dalaman wanita sendiri juga memainkan peranan penting bagi mengelakkan berisiko terkena penyakit kanser serviks.
Apakah kesan kepada wanita hamil sekiranya didiagnos sebagai pesakit kanser serviks?
Ikuti wawancara Pakar Sakit Puan dan Obstetrik Hospital Pantai Sungai Petani, Dr R June George bersama wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya.
SINAR HARIAN: Secara umumnya, sejauh mana tahap bahaya kanser serviks dalam kalangan wanita di Malaysia?
DR R JUNE: Kanser serviks adalah kanser keempat paling tinggi menyerang wanita Malaysia setelah kanser payudara berada pada tahap paling tinggi dan kanser usus besar (colorectal) kedua paling tinggi, manakala kanser paru-paru merupakan kanser ketiga tertinggi.
Kanser serviks dikatakan berlaku di bahagian pangkal rahim. Apakah langkah pencegahan dari segi tahap kebersihan yang boleh diambil oleh setiap wanita bagi memastikan bahagian alat sulit sentiasa sihat dan bersih setiap hari?
Sentiasa periksa sekiranya ada bendalir, pendarahan atau tompok darah yang keluar dari bahagian alat sulit wanita setiap hari. Sekiranya berlaku benjolan atau kewujudan cecair abnormal, sila rujuk doktor anda dengan segera.
Pastikan bahagian sulit dicuci dengan bersih tanpa menggunakan sebarang cecair pencuci atau sabun tertentu yang boleh mengakibatkan kemudaratan sehingga ke bahagian dalaman faraj. Cuci pada bahagian luar alat sulit secara bersih setiap hari sudah memadai tanpa sebarang pencuci tambahan.
Mencuci dengan kasar juga tidak digalakkan kerana bahagian tersebut adalah sensitif untuk menggunakan peralatan mencuci, sebarang serbuk atau pencuci tambahan.
Adakah hubungan kelamin yang kerap juga dikatakan berisiko penyebab kanser serviks?
Antara faktor kanser serviks ialah melalui hubungan kelamin yang berisiko. Bagi sesetengah wanita yang masih muda, aktiviti seksual yang kerap juga menyebabkan risiko kepada berlakunya kanser serviks. Dalam pada itu, hubungan kelamin dengan banyak pasangan juga menjadi salah satu punca kepada penyakit ini.
Adakah pesakit kanser serviks boleh hamil?
Boleh. Pesakit kanser serviks boleh mengandung kerana ovari masih boleh berfungsi seperti biasa. Proses mengandung juga boleh berlaku.
Namun sekiranya ibu hamil dikesan menghidap kanser serviks, keadaan itu boleh menyebabkan potensi mengeluarkan bayi lebih awal daripada usia matang boleh berlaku bagi mengelakkan risiko sekiranya ibu perlu mendapatkan rawatan dengan segera.
Selalunya ibu yang menghidap kanser serviks tidak mampu melahirkan anak secara normal, lazimnya secara pembedahan.
Apakah risiko kepada bayi dalam kandungan sekiranya ibu dikesan menghidap kanser serviks?
Risiko kepada bayi dalam kandungan sekiranya ibu menghidap kanser serviks ialah ibu sukar untuk menjalani rawatan sekiranya bayi masih dalam kandungan.
Bila tempoh bayi dalam kandungan sudah memasuki 36 minggu atau tempoh matang, bayi akan diberi ubat matangkan paru-paru, bayi dikeluarkan secara pembedahan kemudian barulah ibu boleh menjalani rawatan yang disyorkan mengikut tahap kanser.
Sekiranya menyedari kandungan baru mencecah tujuh atau lapan minggu, selalunya doktor memberi pilihan sama ada ibu mahu meneruskan kehamilan atau menjalani rawatan memandangkan risiko bahaya sekiranya rawatan diberikan semasa bayi dalam kandungan. Selalunya, ibu akan memilih meneruskan kehamilan dan menjalani rawatan selepas melahirkan.
Mengapa ramai wanita di Malaysia kurang melakukan saringan kanser serviks?
Mungkin faktor malu menyebabkan seseorang wanita enggan membuat saringan pap smear kerana beranggapan bahawa doktor akan memeriksa bahagian yang tidak sepatutnya.
Bagi saya, untuk menjaga kesihatan wanita, beri peluang untuk pakar membuat pemeriksaan kerana ia mampu menyelamatkan diri anda dan keluarga anda. Ini kerana, wanita adalah kekuatan sesebuah keluarga, sekiranya anda telah didiagnos menghidap kanser, ia mampu meninggalkan kesan ke atas seluruh keluarga anda.
Selain itu, sesetengah wanita menganggap melakukan saringan adalah sesuatu menyakitkan maka mereka enggan berbuat demikian. Bagaimanapun, ia hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk satu sesi saringan.
Sebagai seorang wanita dan pakar perubatan sakit puan, apakah saranan bagi mengelakkan risiko kanser serviks?
Amalkan gaya hidup sihat dengan cara senaman. Bagi saya, memadai anda berjalan kaki kira-kira 20 atau 30 minit sehari secara konsisten, amalkan pemakanan sihat, banyakkan sayur dan buah-buahan dalam menu anda. Elakkan merokok atau asap rokok.
Amalkan aktiviti seksual secara sihat, elakkan bertukar-tukar pasangan dan jalankan saringan pap smear secara konsisten dan ambil vaksin HPV.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!