Sektor pengangkutan, pengilangan terjejas akibat Covid-19
SHAH ALAM - Sektor pengangkutan dan pengilangan turut terjejas berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19) kerana kebanyakan bahan mentah diimport dari China.
Pakar Ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, industri galian juga mungkin mengalami penurunan selepas China mengurangkan import ke atas minyak kerana kilangnya ditutup sekaligus menyebabkan harga minyak import menurun.
“Secara keseluruhannya ekonomi kita akan terjejas kerana bergantung kepada bahan import dari China.
Bagaimanapun keadaan itu bergantung kepada banyak faktor termasuk keadaan di Amerika Syarikat (AS) dan keyakinan pelabur serta pengguna,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Bagaimanapun Barjoyai yakin kadar pertumbuhan ekonomi negara masih boleh berkembang walaupun dalam keadaan perlahan.
Katanya, pada asalnya kerajaan menetapkan kadar pertumbuhan ekonomi negara dijangka 4.5 ataupun 4.7 peratus namun bekas Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengumumkan ekonomi Malaysia dijangka akan hanya tumbuh pada kadar 3.2 hingga 4.2 peratus.
“Beliau mengumumkan perkara itu dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 baru-baru ini. Walaupun Dr Mahathir meramalkan kemerosotan tetapi saya berasakan ramalan beliau optimistik.
“Mungkin pada tahun ini kadar pertumbuhan sekitar 2 peratus sahaja tetapi maknanya dengan harapan suku tahun pertama kadar pertumbuhannya adalah masih positif dalam lingkungan 3 atau 3.5 peratus kerana dijangkakan di suku tahun kedua dan ketiga mungkin kadar pertumbuhan kita negatif.
“Jadi ketika itu kita akan mengalami kegawatan ekonomi dan selepas itu pada suku tahun keempat mungkin kadar pertumbuhan akan menjadi positif kembali tetapi dalam lingkungan 1 peratus,” katanya.
Beliau menjelaskan, kesan lanjutan bukan sahaja disebabkan Covid-19 tetapi kegawatan seluruh dunia kerana AS menjangkakan suku tahun hadapan negara itu dijangka mengalami pertumbuhan negatif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!