Dari dalam penjara pun boleh berceramah
SHAH ALAM - Siapa boleh melupakan bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad menawan hati rakyat Malaysia menerusi siaran Live Facebook yang boleh mencecah lebih 260,000 tontonan pada satu-satu masa sehingga menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Tetapi jangan lupa juga, bagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak dengan imej yang tercalar akibat kekalahan teruk PRU14, mengambil masa tidak sampai setahun untuk bangkit memikat kembali penyokongnya mengguna jenama Malu Apa Bossku.
Ternyata persaingan dalam kalangan ahli politik untuk merajai media sosial semakin dahsyat.
Laporan khas Sinar Harian akan membongkar dan menganalisis mengenai siapakah ahli politik Malaysia serta dunia yang kini mendominasi media sosial.
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Ismail Sualman memberi satu gambaran mudah kenapa media sosial semakin berguna dan penting buat ahli politik.
Katanya, secara mudahnya dengan teknologi, ahli politik yang meringkuk dalam penjara pun masih boleh berceramah kepada pengikutnya pada masa depan, tidak lagi perlu ke lokasi-lokasi tertentu seperti diamalkan sekarang.
Jelasnya, teknik itu dipanggil sebagai pendekatan pemasaran politik digital.
Menurutnya, ramai sudah mula mempraktikkan teknik itu di seluruh dunia bahkan Malaysia juga tidak jauh ketinggalan malah jika diteruskan, capaiannya boleh menjangkau ke peringkat antarabangsa.
“Tak perlu lagi ceramah, orang boleh bagi ceramah dalam dewan, penjara, dia boleh dapat penonton macam jual tudung. Ini teknik baharu yang sudah bermula dan sekarang, jika ada kebijaksanaan dalam IoT (Internet of Things), kita boleh sampai ke peringkat antarabangsa.
“Ia boleh dilakukan hanya dengan menggunakan jalur lebar yang murah. Itu sebenarnya hakikat pada masa kini iaitu pendekatan pemasaran politik digital ini semakin popular di negara luar dan itulah sebabnya Malaysia ke arah itu sekarang ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas pengaruh media sosial dalam penciptaan propaganda membabitkan ahli politik, Ismail berpendapat medium berkenaan merupakan salah satu elemen penting dalam strategi ketika ‘berperang’ di media sosial.
“Kekuatan pertama media sosial, penyampaian maklumatnya cepat. Kedua, maklumat boleh diperoleh secara menyeluruh. Ketiga, ia mudah digunakan.
“Keempat, ia dapat menembusi beberapa perundangan yang menjadi halangan kepada mana-mana parti politik yang mahu berkarya atau berkempen. Contohnya pihak pembangkang nak buat sesuatu, dia tidak perlu ada permit.
“Dia hanya menyebarkan maklumat melalui media sosial dan propaganda itu akan sampai kepada orang lain. Cara seperti ini dipanggil public opinion,” katanya.
Jelasnya, media sosial kini merupakan ejen penyebar maklumat yang paling kuat bahkan ia juga adalah ejen perubahan dalam propaganda politik yang cukup berkesan.
Tambah beliau, landskap politik Malaysia banyak dipengaruhi dan diwarnai oleh perkembangan media sosial melalui pemaparan berita ataupun strategi, taktik dan teknik pemasaran politik secara terbuka.
“Terutamanya apabila wujud sesuatu isu dalam politik melibatkan pembangkang, mereka menggunakan wadah media sosial untuk menjelaskannya.
“Jadi pembangkang banyak gunakan media sosial sebagai satu senjata buat mereka menyampaikan maklumat, menyebarkan propaganda dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!