'Pimpinan `PKR perlu bertanggungjawab atas kejatuhan PH'

Nazree Yunus
Nazree Yunus
A
A
A

SEREMBAN - Pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bertanggungjawab atas kejatuhan kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus berkata, ia perlu diteliti dan dimuhasabah oleh setiap barisan kepimpinan PH.

"Bagi saya pimpinan tertinggi PKR perlu bertanggungjawab. Konflik politik dalaman bermula seawal waktu pemilihan parti 2018 dan seterusnya membarah dalam soal peralihan kuasa Perdana Menteri.

"Konflik boleh diselesaikan. PKR perlu rekonstruksi semula bentuk politik dan perlu menjadi parti yang mendukung kepimpinan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham merupakan keputusan 'sumbang' oleh PKR.

Jelas beliau, keadaan itu mengakibatkan parti dan perjuangan PKR bertambah lemah.

"Pemecatan pimpinan atau anggota tidak mengukuhkan parti, bahkan membawa persepsi tempangnya keadilan dalam PKR itu sendiri.

"Maka dengan itu, Presiden dan pimpinan tertinggi parti wajar mengambil tanggungjawab penuh atas situasi politik yang berlaku. PKR boleh diperkukuh atau runtuh atas pilihan pimpinannya sendiri dalam menangani konflik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Nazree turut menyarankan agar pimpinan PKR bersama-sama mendukung kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membentuk suatu bentuk landskap baharu politik Malaysia.

Katanya, tindakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat tidak akan menguntungkan rakyat dan akan terus mengheret kepada ketidakstabilan politik negara ini.

"Kita harus memberikan tumpuan kepada kestabilan politik yang boleh memberi kesan terhadap kestabilan ekonomi dan pembangunan negara.

"Semua parti-parti di negara ini boleh memulakan secara bersama agenda politik damai dan memberikan dukungan kepada agenda berkepentingan rakyat yang akan digagaskan oleh kerajaan baharu melalui kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kelapan," katanya.

Nazree berkata, jika parti lain sukar untuk melakukannya, PKR perlu mulakan langkah mulia ini seperti yang telah ditunjukkan oleh Azmin dan Zuraida.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!