Lelaki rentung dalam kebakaran
TELUK INTAN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki berusia 52 tahun ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah di Jalan Pasar di sini hari ini.
Mayat Or Beng Kiong ditemui selepas anggota bomba berjaya memadam kebakaran di rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Azroisan Wahab berkata, seramai 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 9.23 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua rumah kelas B terbakar 90 peratus. Operasi turut melibatkan anggota dari BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) seramai 10 orang.
“Mayat mangsa ditemui dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan dan mayat berjaya dibawa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis bagi siasatan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, operasi diteruskan dengan menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi sisa bara api.
“Api berjaya dipadamkan dan kita menunggu unit anjing pengesan (K9) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!