Abang dibunuh, disimen dalam tong air
ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Mayat seorang lelaki ditemui di dalam tong air biru yang disimen di tepi rumahnya selepas dipercayai dibunuh adik lelakinya di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mayat Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34 tahun itu ditemui kira-kira jam 7 pagi selepas polis menahan suspek berusia 24 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 6 Mac lalu di mana suspek telah menetak mangsa menggunakan sebilah parang.
"Setelah membunuh, suspek telah memasukkan mangsa ke dalam sebuah tong dan kemudian meletakkan simen ke dalamnya. Semasa kejadian ibu dan adiknya tiada di rumah dan berada di luar daerah," katanya dalam satu kenyataan.
Sapii berkata, mangsa tidak bekerja manakala suspek pula berniaga ayam goreng di Tanah Merah, Jitra dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham adik-beradik.
"Siasatan awal juga mendapati punca perselisihan adalah baju yang diberi teman wanita suspek sering dipakai oleh abangnya menyebabkan adiknya naik angin. Namun siasatan masih berjalan.
"Suspek telah ditangkap di tempat kejadian pagi tadi. Pihak polis telah merampas parang dan peralatan yang digunakan ketika kejadian," katanya.
Katanya, tong tersebut dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut dan bedah siasat akan dilakukan selepas mayat mangsa dapat dikeluarkan dari tong tersebut.
"Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!