Hotel jadi pusat kuarantin Covid-19 runtuh di China

Operasi SAR sedang giat dijalankan di tapak runtuhan hotel di Quanzhou, wilayah Fujian semalam. - FOTO: AFP
Operasi SAR sedang giat dijalankan di tapak runtuhan hotel di Quanzhou, wilayah Fujian semalam. - FOTO: AFP
A
A
A

BEIJING - Sekurang-kurangnya enam terbunuh selepas sebuah hotel yang digunakan sebagai kemudahan kuarantin koronavirus (Covid-19) runtuh dalam kejadian di timur China, menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan hari ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seramai 43 daripada kira-kira 70 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan Hotel Xinjia setinggi lima tingkat dan mempunyai 80 bilik tetamu di bandar Quanzhou itu.

"Hotel itu runtuh pada jam 7.30 malam (waktu tempatan) semalam. Punca runtuhan masih disiasat. Pemilik bangunan tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan polis.

"Laporan awal mendapati projek pengubahsuaian sedang dilakukan di tingkat pertama premis sejak sebelum sambutan Tahun Baru Cina," lapor Xinhua.

Susulan insiden itu, kira-kira 848 anggota bomba bersama 169 jentera dari wilayah Fujian telah dikerah ke lokasi kejadian dan turut disertai 11 pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta tujuh anjing pengesan.

Pihak berkuasa Quanzhou turut menghantar ambulans, jengkaut dan kren untuk membantu operasi SAR tersebut.

Sehingga kini, bandar tersebut telah merekodkan 47 kes jangkitan Covid-19.

Difahamkan, Hotel Xinjia yang dibuka pada 2018 itu digunakan untuk memantau individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!