Suami isteri edar dadah antara 57 individu ditahan di KK

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Sepasang suami isteri antara 57 individu ditahan atas kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi dijalankan di sekitar bandar raya ini selama seminggu sejak 29 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pasangan berumur 24 dan 27 tahun itu ditahan bersama satu peket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu dan 65 keratan straw berwarna hijau berisi dadah jenis sama seberat 24.10 gram (g).

“Mereka yang dipercayai mengedar dan menjual dadah di kawasan Pekan Inanam itu ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil siasatan mendapati pasangan ini adalah penganggur dan tidak mempunyai dokumen (pengenalan diri),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu polis merampas seberat 26.33 g dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3,949.50.

Sementara itu, Habibi berkata, dalam serbuan berlainan polis menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Bersepadu PATI dijalankan selama lima jam di empat lokasi sekitar Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

"Individu terbabit antara 17 orang yang diperiksa dalam operasi itu dan dia akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Orang ramai diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu (IPD) di talian 088-529 220; Facebook IPD Kota Kinabalu atau menerusi WhatsApp IPD Kota Kinabalu di nombor 019-218 2729 dalam usaha membanteras jenayah, PATI dan dadah di sekitar Kota Kinabalu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!